Kerugian TH turut jejas perniagaan dan ekonomi, kata ahli ekonomi

Jumlah kerugian pelaburan Tabung Haji (TH) sahaja tidak menggambarkan sepenuhnya kesan terhadap perniagaan tempatan, termasuk pengurangan projek, rantaian bekalan semakin lemah serta terlepas peluang mengembangkan perniagaan, kata ahli ekonomi.

Harridon Suffian dari Universiti Kuala Lumpur Business School berkata masalah kewangan TH pastinya menjejaskan pendapatan dan margin keuntungan syarikat yang mempunyai hubungan perniagaan dengan institusi itu.
Katanya, pengurangan perbelanjaan dan pelaburan TH bermakna rakan niaga, pembekal, subkontraktor serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerima lebih sedikit projek dan tempahan.
Banyak syarikat berkenaan dimiliki orang Melayu.
“Pertumbuhan syarikat tempatan ini terbantut dan mereka terlepas pelbagai peluang untuk berkembang, sekali gus mengehadkan keupayaan mereka memberi sumbangan lebih besar kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya kepada FMT.
Harridon mengulas dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020, yang membangkitkan ketidakaturan pelaburan serta kelemahan pelaporan kewangan dan tadbir urus institusi itu.
Antara perkara dibangkitkan dalam laporan itu ialah pemerhatian ketua audit negara bahawa rosot nilai sebanyak RM164.58 juta bagi pelaburan TH dalam TH Heavy Engineering (THHE) tidak direkodkan dalam penyata kewangan TH bagi 2017.
Dapatan lain turut menunjukkan tekanan kewangan terhadap operasi perniagaan. TH Plantations, misalnya, menjual ladang untuk membayar hutang dan mengurangkan perbelanjaan operasi, yang turut menyumbang kepada penurunan pengeluaran minyak sawit.
Laporan itu turut merekodkan langkah menangani beberapa isu lain, termasuk kelulusan untuk melupuskan anak syarikat milik syarikat pelaburan Trurich Resources Sdn Bhd serta usaha mendapatkan semula dana berkaitan pelaburan Putrajaya Perdana.
Harridon berkata tempahan yang berkurangan menjejaskan pendapatan dan margin keuntungan pembekal, manakala kemerosotan kuasa beli menyukarkan subkontraktor mengembangkan perniagaan.
Sumbangan cukai yang lebih kecil daripada syarikat berkenaan turut menjejaskan hasil kerajaan, tambahnya.
Di pihak TH pula, Harridon berkata dana yang diperlukan untuk menampung kerugian terdahulu mengurangkan modal yang boleh digunakan untuk membuat pelaburan baharu dan menjana pendapatan pada masa depan.
Menurutnya, TH memerlukan modal yang mencukupi untuk terus melabur dan berkembang, namun tekanan kewangan mengehadkan keupayaan itu.
Beliau berkata penggunaan wang pembayar cukai untuk menyelamatkan TH turut membawa kesan kepada ekonomi kerana dana berkenaan boleh digunakan bagi membiayai projek ekonomi lain.
Penelitian perlu diteruskan walaupun kewangan pulih

Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting berkata pemulihan kewangan tidak sepatutnya menghentikan penelitian terhadap cara pelaburan diluluskan serta kesannya kepada pihak lain.
Katanya, kesan terhadap pembekal, rakan niaga, kontraktor dan pekerja perlu dikenal pasti berdasarkan tuntutan yang disahkan, rekod pembayaran serta data lain.
RCI mengesyorkan audit forensik terhadap pelaburan bermasalah dan menggesa tindakan tegas diambil susulan laporan polis serta aduan berkaitan salah laku.
Zaharuddin berkata risiko pelaburan biasa perlu dibezakan daripada kegagalan tadbir urus, sambil menegaskan kerugian semata-mata bukan suatu jenayah.
Menurutnya, pihak yang menyediakan, meneliti dan meluluskan cadangan pelaburan perlu menjelaskan tindakan masing-masing supaya tanggungjawab tidak menjadi kabur antara pengurusan, lembaga pengarah dan pihak yang memberi kelulusan.
Beliau menggesa siasatan bebas dijalankan dan Parlimen dimaklumkan secara berkala mengenai perkembangan audit forensik, tindakan sivil serta usaha mendapatkan semula dana.
“Jangan biarkan pemulihan kewangan menutup persoalan tentang tanggungjawab,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.