Menang PRN bukan bukti rakyat ‘rindu’ Umno, kata pemimpin Kedah

Seorang pemimpin Umno mengingatkan kemenangan dalam beberapa PRN tidak boleh melalaikan dan dianggap rakyat sudah kembali menerima Umno dan Barisan Nasional (BN).
Ketua Penerangan Umno Kedah, Shaiful Hazizy Zainol Abidin, berkata kemenangan itu perlu dinilai berdasarkan faktor yang mempengaruhi keputusan pengundi, antaranya bibit penyatuan ummah yang sudah lama diharapkan rakyat, khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu dan Islam.
Shaiful yang juga pengarah komunikasi BN Kedah dan ketua Umno Merbok berkata, kekecewaan rakyat terhadap prestasi Pakatan Harapan (PH) menjadi antara faktor yang mendorong pengundi menghantar isyarat menerusi beberapa PRN.
“Rakyat nak melampiaskan kekecewaan tersebut dengan memberi isyarat dalam dua atau tiga pilihan raya negeri yang telah pun berlangsung,” katanya dalam audio siar Bincang Naratif.
“Saya paling takut kadang-kadang pemimpin kita menang di beberapa siri pilihan raya, (lalu menganggap) sokongan rakyat sudah kembali kepada kita. Kita sudah kembali dirindui oleh rakyat. Saya rasa itu tidak tepat.”
Justeru, Shaiful mengingatkan kepimpinan parti bahawa keputusan PRN tidak boleh dijadikan ukuran dan keyakinan berlebihan terhadap sokongan rakyat menjelang PRU16.
“Itu adalah pendirian yang sangat berbahaya. PRN keputusannya tidak boleh dijadikan sebagai sandaran dan ukuran untuk pilihan raya umum,” katanya.
Pada PRN Johor Julai lalu, BN mencatat kemenangan besar dengan menguasai 48 daripada 56 DUN, meningkat berbanding 40 pada 2022. Umno memenangi 36 kerusi, MCA (8) dan MIC (4).
Di Negeri Sembilan pada Ogos, BN memenangi 18 daripada 36 DUN, termasuk 16 oleh Umno dan dua MCA. Kerjasama BN-PN membolehkan kedua-duanya menguasai 25 kerusi selepas PN memenangi tujuh, manakala PH memperoleh (11).
Terbaru, pada PRN Melaka 14 Nov lalu, BN mengekalkan 21 daripada 28 DUN, dengan Umno memenangi 18 kerusi, MCA (2) dan MIC (1). PN pula meraih tiga kerusi, menjadikan keseluruhan 24 dikuasai kerjasama BN-PN, manakala PH menang (4).
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.