Adakah kontraktor bantu bayar denda RM50 juta Najib, soal Ahli Parlimen DAP

Seorang Ahli Parlimen DAP mempersoalkan Umno sama ada kontraktor terbabit projek jalan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) turut menyumbang kepada pembayaran denda RM50 juta bekas perdana menteri, Najib Razak.
Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin, berkata satu poster tular di media sosial sejak semalam mendakwa tujuh kontraktor membayar denda RM50 juta yang dikenakan ke atas Najib.
Beliau secara peribadi tidak percaya dakwaan itu, sambil menambah Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi tidak akan menggunakan pendekatan “Saya tolong awak, awak tolong saya”.
“Saya berharap Zahid dapat mengeluarkan senarai penuh kontraktor projek jalan luar bandar (JALB), manakala Umno pula mendedahkan jika ada mana-mana kontraktor terbabit menyumbang kepada pembayaran denda Najib,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, Zahid juga perlu mendedahkan senarai lengkap projek JALB yang mempunyai bayaran tertunggak serta semua projek baharu JALB yang diluluskan sepanjang tempoh perkhidmatannya.
“Bagi setiap projek, kementerian perlu mendedahkan tarikh kelulusan, tarikh bayaran sepatutnya dibuat, jumlah telah dibayar serta baki bayaran belum dijelaskan.”
Semalam, Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata, parti itu telah membayar denda RM50 juta yang dikenakan terhadap bekas presidennya itu, sekali gus membolehkannya menjalani baki hukuman penjara atas sabitan rasuah di bawah tahanan rumah.
Peguam Najib, Farhan Shafee mengesahkan denda itu telah dibayar.
Najib diberikan pengampunan bersyarat yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara selama enam tahun bagi kes SRC International di rumah, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta pematuhan syarat lain.
Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara (AGC) mencadangkan tahanan rumah Najib ditangguhkan sehingga penelitian berhubung interpretasi perintah pengampunan bersyarat serta kesan ‘order of discharge’ selesai.
Tetapi, peguam Najib berhujah AGC tiada kuasa menangguhkan pelaksanaan tahanan rumah itu kerana semua syarat ditetapkan dalam titah Yang di-Pertuan Agong berhubung tahanan rumah telah dipenuhi.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.