Melaka, negeri projek gagal?

Melaka sering dikaitkan dengan projek pembangunan yang gagal mencapai sasaran, khususnya sebelum 2018 ketika negeri itu ditadbir Barisan Nasional (BN).
Beberapa projek yang dilancarkan dalam tempoh berkenaan masih belum disiapkan, malah ada yang terus terbengkalai, termasuk perkhidmatan monorel yang kini tidak lagi beroperasi.
Pakatan Harapan (PH) berjanji akan mengkaji semula projek berkenaan sekiranya diberi mandat membentuk kerajaan negeri yang baharu.
FMT meninjau beberapa projek utama yang menjadi masalah berpanjangan di negeri itu.
Twin Island City Centre
Pada Mei 1996, perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, melancarkan projek Twin Island City Centre bernilai RM2 bilion bagi membangunkan dua pulau tambakan sebagai pusat perniagaan baharu yang menempatkan hotel dan pusat beli-belah.
Ia menjadi projek pulau buatan manusia pertama di Malaysia. Pulau pertama yang dikenali sebagai Pulau Melaka dirancang dibina di luar pesisir Bandar Hilir dan dihubungkan ke tanah besar menerusi jambatan sepanjang 300m.
Pulau Melaka siap dibina pada penghujung 1990-an, namun sehingga kini sebahagian besar kawasannya masih kosong dan hampir tiada kegiatan ekonomi.
Sementara itu, pulau kedua yang dirancang tidak pernah dibangunkan.
Melaka Gateway
Bagi menghidupkan semula Pulau Melaka, kerajaan negeri memperkenalkan projek Melaka Gateway pada 2014 yang merangkumi pembangunan empat pulau buatan manusia, termasuk Pulau Melaka.
Projek bernilai RM43 bilion itu dirancang menempatkan zon perdagangan bebas, pelabuhan, kawasan perindustrian serta pembangunan kediaman dan komersial.
Pemaju hartanah tempatan, KAJ Development Sdn Bhd, diberi tanggungjawab menguruskan projek itu dengan kerjasama syarikat milik China, PowerChina International, di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) China.
Kerja pembangunan bermula pada Oktober 2017, dengan fasa pertama dijadual siap dan dibuka kepada orang ramai pada tahun berikutnya, manakala keseluruhan projek dijangka siap menjelang 2025.
Bagaimanapun, projek itu mendapat bantahan masyarakat Kristang.
Menurut laporan Forbes, penduduk mendakwa mereka tidak dimaklumkan mengenai perancangan projek berkenaan, selain bimbang kerja penambakan laut berhampiran kawasan mereka akan menjejaskan sumber pendapatan, khususnya kegiatan menangkap ikan.
Projek itu dibatalkan pada November 2020 selepas pemaju gagal menyiapkan kerja penambakan laut dalam tempoh tiga tahun seperti ditetapkan dalam kontrak.
Ia dihidupkan semula pada 2022, namun skop pembangunannya dikurangkan dengan ketara. Pelan baharu itu memberi tumpuan kepada pembinaan terminal kapal persiaran yang dijadual mula beroperasi pada 2028.
Secara berasingan, KAJ Development turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Dubai Integrated Economic Zones Authority bagi kerjasama pelaburan dan pengoperasian zon perdagangan bebas.
Bagaimanapun, tidak banyak perkembangan mengenai kerjasama itu dilaporkan sejak perjanjian berkenaan dimeterai.

Arab City
Arab City dirancang sebagai projek pembangunan berperingkat yang melibatkan beberapa lokasi di Melaka.
Fasa pertama, dengan anggaran kos RM400 juta, merangkumi pembinaan 240 lot komersial di tapak seluas 1.84 hektar di Pulau Melaka.
Seperti namanya, projek itu dirancang menjadi pusat perniagaan masyarakat Arab, dengan deretan kedai menjual produk dari Timur Tengah serta restoran yang menawarkan masakan Arab.
Fasa kedua pula dirancang di kawasan seluas empat hektar di Klebang, melibatkan pembinaan hotel lima bintang, taman tema air, akuarium dan restoran terapung, dengan anggaran kos tambahan RM700 juta.
Fasa ketiga yang dirancang di Kampung Jawa pula merangkumi pembangunan deretan restoran dan kedai kopi Arab.
Menurut pemajunya, Golden Corporate Heritage Sdn Bhd, Arab City pada asalnya dirancang dibangunkan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, projek itu dipindahkan ke Melaka atas permintaan ketua menteri ketika itu, Ali Rustam.
Kerja pembinaan fasa pertama bermula pada 2009 dan dijadual siap menjelang 2012. Namun, pembinaannya terhenti dan tiada perkembangan besar dilaporkan sejak itu.
Walaupun begitu, laman web projek berkenaan yang masih aktif menyatakan bahawa kira-kira 70% kerja pembinaan fasa pertama telah disiapkan.
Perkembangan terbaharu dilaporkan pada 2023 apabila Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh, menyifatkan projek itu sebagai sesuatu yang mencacatkan pemandangan dan perlu diselesaikan secepat mungkin.

Monorel Melaka
Projek monorel Melaka pada asalnya bertujuan menambah baik pengangkutan awam, mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar raya Melaka serta menyediakan pilihan pengangkutan alternatif kepada pelancong.
Namun, projek itu akhirnya menjadi perkhidmatan rel yang tidak lagi beroperasi.
Pembinaan fasa pertama projek monorel yang dirancang dalam dua fasa itu bermula pada 2008 dan siap pada 2010 dengan kos RM15.9 juta.
Perkhidmatan monorel bagi laluan sepanjang 1.6km antara stesen Hang Tuah dan Hang Jebat mula beroperasi pada 20 Okt tahun berkenaan.
Bagaimanapun, tren itu mengalami kerosakan hanya beberapa jam selepas memulakan perjalanan sulungnya, menyebabkan 20 penumpang terperangkap di dalamnya.
Beberapa masalah teknikal yang berlaku selepas itu menyebabkan perkhidmatannya digantung dua bulan kemudian.
Sementara itu, pembinaan fasa kedua yang melibatkan penyambungan laluan sepanjang 1.3km lagi hingga ke stesen Tun Ali bermula pada Disember 2011, dengan kos tambahan RM13.2 juta.
Perkhidmatan monorel akhirnya disambung semula pada 2017, namun sekali lagi digantung pada 2020 susulan penularan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan sekatan pergerakan.
Pada 2021, kerajaan negeri membatalkan kontrak perkhidmatan pengendali monorel itu atas alasan berlaku pelanggaran perjanjian dengan unit pembangunan ekonomi negeri.
Perkhidmatan itu gagal dipulihkan selepas penggantungan kali kedua berkenaan.
Sejak itu, monorel Melaka tidak lagi beroperasi manakala stesen Hang Tuah telah dirobohkan.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.