2 rentung dalam nahas di Batu Pahat

Dua individu termasuk seorang remaja lelaki rentung selepas kereta yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Jaya Diri, Rengit di sini malam tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rengit PBK II, Khairul Azmi Ngatman, berkata enam anggota bersama sebuah jentera FRT dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada 8.01 malam.
Beliau berkata kemalangan itu menyebabkan seorang lelaki berusia 22 tahun dan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun rentung setelah terperangkap dalam kereta Proton Saga BLM yang terbakar manakala dua lagi mangsa yang menaiki kereta Proton Wira masing-masing berusia 37 dan 61 tahun mengalami kecederaan.
“Kemalangan ini mengakibatkan Proton Saga BLM hangus 60% dan Pasukan Keluaran Operasi menjalankan operasi pemadaman sebelum berjaya mengeluarkan dua mangsa yang rentung,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.