Bank boleh guna penyata akaun janaan komputer tuntut pinjaman tertunggak

Bank boleh menggunakan penyata akaun yang dijana komputer sebagai bukti pinjaman tertunggak di mahkamah, dengan syarat pegawai bank memberikan keterangan mengesahkan rekod berkenaan dihasilkan oleh komputer yang digunakan dalam urusan perniagaan biasa.
Mahkamah Rayuan menjelaskan perkara itu hari ini ketika mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak tuntutan sebuah bank untuk mendapatkan semula RM689,207 daripada seorang peminjam dan dua penjamin peribadi.
Hakim Wong Kian Kheong yang menyampaikan keputusan itu, berkata Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila mengetepikan sijil keberhutangan bank dan penyata akaun yang dijana komputer.
Wong, yang bersidang bersama Hakim Faizah Jamaludin dan Leonard David Shim, berkata dokumen berkenaan boleh diterima sebagai keterangan di bawah Seksyen 90A(1) Akta Keterangan 1950 kerana sijil itu telah disahkan dan ditandatangani oleh pegawai bank.
Pegawai bank berkenaan turut memberi keterangan bahawa penyata itu dijana oleh komputer bank dalam urusan perniagaan biasa.
Wong berkata pegawai itu juga mengesahkan bahawa komputer berkenaan berfungsi dengan baik, manakala pihak defendan tidak mengemukakan sebarang bukti untuk menyangkal keterangannya.
Oleh itu, Mahkamah Rayuan berkata Mahkamah Tinggi telah terkhilaf apabila menolak dokumen berkenaan sebagai keterangan.
Pertikaian itu berpunca daripada dua kemudahan pinjaman berjumlah RM15 juta yang diberikan SME Bank kepada Panji Timor Holdings Sdn Bhd bagi projek hotel di Seremban, Negeri Sembilan.
Selepas peminjam gagal membuat bayaran, penerima dan pengurus yang dilantik oleh bank menjual tanah serta hotel yang belum siap itu pada harga RM15 juta pada 2014.
SMEB Asset Management Sdn Bhd, yang mengambil alih perniagaan dan kontrak pembiayaan bank berkenaan, kemudian memfailkan saman untuk mendapatkan semula baki hutang tertunggak.
Panji Timor memfailkan tuntutan balas dengan mendakwa penjualan itu menghasilkan lebihan hasil kira-kira RM3.92 juta yang sepatutnya dipulangkan kepadanya.
Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan bank terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung isu substantif dan memerintahkan ketiga-tiga defendan membayar RM689,207 secara bersama dan berasingan.
Mahkamah itu turut menolak tuntutan balas berkenaan.
Bagaimanapun, mahkamah menolak rayuan berasingan bank terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang tidak membenarkan pindaan kepada pernyataan tuntutannya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.