Pemilik syarikat mengaku tak salah kemuka tuntutan palsu subsidi upah Perkeso

Seorang pemilik syarikat kontraktor pembinaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Georgetown hari ini atas tuduhan memberi dokumen pernyataan palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berhubung tuntutan subsidi upah, empat tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Ra’abilshah Samzali, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suainbon, menurut Berita Harian.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa memberi kepada seorang ejen Perkeso selaku Perantis Bahagian Insurans Pekerjaan di Putrajaya, satu dokumen iaitu senarai nama pekerja bertajuk ‘SIP Subsidi Upah Bersasar 5.0’ bagi tuntutan insentif di bawah berkenaan.
Dokumen itu didakwa mengandungi penyataan palsu butiran matan apabila senarai nama pekerja mengandungi nama mereka yang bukan pekerja MRSJ Builders Sdn Bhd.
Nama mereka didakwa dimaksudkan bagi mengelirukan prinsipal dengan niat hendak memperdayakan prinsipal ejen berkenaan, sedangkan tertuduh mempunyai sebab bagi mempercayai dokumen itu mengandungi pernyataan palsu tentang butiran matan.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat MRSJ Builders Sdn Bhd, Jalan Sungai Dua, Gelugor pada 14 Februari 2022.
Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai butiran matan palsu atau silap, jika butiran itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mana lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Arif Shaharuddin.
Terdahulu, Nurnajihatul menawarkan jaminan RM10,000 dengan syarat tambahan tertuduh melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Arif bagaimanapun merayu jumlah jaminan minimum dengan alasan anak guamnya kini berniaga dengan pendapatan antara RM7,000 hingga RM10,000 sebulan dan menanggung isteri bersama tiga anak berusia setahun hingga lapan tahun.
Mahkamah membenarkan jaminan RM5,000 serta mematuhi syarat tambahan dimohon pihak pendakwa sebelum menetapkan 2 November ini untuk sebutan semula.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.