Pengerusi FMT terima anugerah Global Captains of Industry

Pengerusi Eksekutif FMT Media Sdn Bhd, Nelson Fernandez, menerima Anugerah Global Captains of Industry pada Forum Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pemimpin Perniagaan Antarabangsa 2026.
Anugerah yang disampaikan pada majlis perasmian forum di Hotel Berjaya Times Square, di sini, antara pengiktirafan daripada KSI Strategic Institute for Asia Pacific bagi menghargai sumbangan pemimpin perniagaan terhadap ekonomi Malaysia dan global.
Acara itu anjuran bersama KSI, World Business Chamber, Asean Business Club, AI & Design Thinking Lab @ KSI serta Economic Club of Kuala Lumpur.
Forum CEO dan Pemimpin Perniagaan Antarabangsa 2026 menghimpunkan pemimpin perniagaan dan pakar industri untuk membincangkan strategi syarikat kekal berdaya saing dan terus berkembang dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik serta ekonomi.
Fernandez berkhidmat sebagai pengerusi eksekutif FMT sejak 2014, memacu pertumbuhan syarikat itu menjadi platform berita digital utama di Malaysia yang merangkumi topik politik, perniagaan dan gaya hidup.
Beliau memiliki pengalaman lebih empat dekad dalam pelbagai bidang termasuk perbankan, kewartawanan, pengiklanan dan penerbitan.
Fernandez dijadualkan menjadi ahli panel pada sesi petang forum itu yang akan membincangkan usaha membina perniagaan mampan melalui daya tahan, daya saing dan pertumbuhan.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.