Hargai cadangan calon KM, namun Adly mahu fokus PH menang dahulu


Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka Adly Zahari menghargai cadangan menamakan beliau sebagai calon ketua menteri sekiranya gabungan itu memenangi PRN Melaka, namun mahu tumpuan diberikan kepada usaha memenangi sebanyak mungkin kerusi.
Adly berkata keutamaan PH ketika ini adalah memastikan calonnya menang sebelum memikirkan soal pembentukan kerajaan negeri.
“Kerana kita tahu proses pembentukan kerajaan itu banyak bergantung kepada jumlah kerusi yang kita menang,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PH.
Semalam, Pengarah Pilihan Raya PH Amirudin Shari berkata Adly calon terbaik setakat ini untuk menerajui Melaka sekiranya gabungan itu mendapat mandat membentuk kerajaan.
Amirudin berkata Adly menjadi konsensus PH untuk dinamakan sebagai calon ketua menteri jika gabungan itu memperoleh majoriti atau diberi kepercayaan membentuk kerajaan.
Adly bukan nama asing dalam pentadbiran negeri apabila pernah menjadi ketua menteri Melaka dari Mei 2018 hingga Mac 2020 selepas PH mengambil alih kerajaan negeri pada PRU14.
Dalam pada itu, Adly mahu semua calon dan jentera PH memanfaatkan baki tempoh kempen untuk mendapatkan sokongan pengundi.
Beliau berkata tumpuan kini diberikan kepada 24 kerusi yang ditandingi PH, dengan kemenangan akhirnya bergantung kepada undi rakyat Melaka.
“Saya fikir tugas kita dalam tempoh ini untuk memenangkan Adun-Adun kita. Dan yang boleh memenangkan hanya satu, iaitu undi daripada rakyat negeri Melaka. Itu fokus kita,” katanya.
Pengundian PRN Melaka ditetapkan pada 14 Nov, manakala pengundian awal pada 10 Nov.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.