Alahai anak Zahid


Tiga hari lalu atau lebih tepat pada Rabu 11 November, seorang kawan menghantar kepada saya video berita New Straits Times mengenai penjelasan Exco Wanita Umno Nurulhidayah Ahmad Zahid apabila menjawab pertanyaan pengguna Thread mengenai pelaksanaan tahanan di rumah bagi Najib Razak dan sama ada ahli keluarga dibenarkan tinggal di kediaman di Langgak Duta yang sudah diisytiharkan sebagai penjara.
Yang buat saya kebingungan ialah sejak bila Nurulhidayah menjadi jurucakap Kementerian Dalam Negeri khususnya Jabatan Penjara, atau jurucakap AG Chamber? Mungkin saya terlepas pandang atau tidak sedar akan pelantikan beliau.
Apa pun, Nurulhidayah menjelaskan bahawa ahli keluarga Najib dan individu lain dikatakan tidak dibenarkan tinggal bersama bekas perdana menteri itu, sepanjang tempoh Najib menjalani baki hukuman penjara. Berita Harian memetik beliau berkata urusan pembelian makanan secara dalam talian juga tidak dibenarkan kerana Najib tidak dibenarkan keluar daripada bangunan.
“Rumah itu pun diwarta sebagai penjara. Memang konsep penjara. Anak bini tidak ada dalam itu. Anak bini bukan tinggal sekali. DSR duduk Pavilion,” katanya.
‘DSR’ umum tahu merujuk kepada Rosmah Mansor, isteri Najib. Pavilion pula tentulah merujuk kepada Pavilion Kuala Lumpur yang merangkumi pusat membeli-belah, pejabat dan kediaman, di Bukit Bintang.
Bagaimanapun, penerangan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution kepada Dewan Rakyat semalam menunjukkan Nurulhidayah tersasar.
Untuk berlaku adil, perlu dinyatakan Nurulhidayah got it right dalam bab memesan makanan secara dalam talian, dan mengenai individu selain keluarga. Itu pun Saifuddin kata Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan menetapkan individu selain keluarga perlu mendapatkan kebenaran bertulis. Paling ketara Nurulhidayah got it wrong mengenai Rosmah dan ahli keluarga terdekat. Saya ulangi apa yang dinyatakan Saifuddin: isteri, anak, menantu dan cucu dibenarkan tinggal bersama bekas presiden Umno itu.
Maka pertanyaan logik ialah daripada mana Nurulhidayah dapat maklumat mengatakan Rosmah akan tinggal di Pavilion?
Saya yakin pengguna Threads tanya Nurulhidayah kerana beliau ialah anak kepada Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi. Tentulah orang yang bertanya akan percaya apa yang disampaikan Nurulhidayah memandangkan ayahnya seorang timbalan perdana menteri. Mungkinkah beliau mendapat info daripada ayah? Tetapi takkan ayahnya dengan rela dan sedar beri info salah kepadanya? Atau si pemberi maklumat who ever that person might be tidak bercakap benar kepadanya?
Atau adakah apa yang dinyatakan Nurulhidayah ialah a figment of her imagination, atau disuarakan mengikut logik sendiri?
Nurulhidayah mengakhiri penjelasan kepada orang yang bertanya dengan berkata: “Terima kasih tanya sebab nak tahu. Letih baca fitnah dari orang-orang yang terpaling tahu semua.”
Tetapi apa fitnahnya? Mana fitnahnya? Mungkin ‘orang yang terpaling tahu semua’ itu memang benar tahu.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.