Berkeras tolak GST bukan sebab politik, kata Anwar

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan keputusannya menolak pelaksanaan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) bukan didorong kepentingan politik, sebaliknya mengambil kira kesan cukai itu terhadap rakyat.
Beliau berkata, sekiranya GST benar-benar menguntungkan ekonomi negara dan rakyat, tiada sebab untuk kerajaan menolaknya atas pertimbangan politik.
“Saya berkeras tidak mahu GST. Bukan soal politik, apa nak politiknya kalau ia menguntungkan ekonomi negara dan menguntungkan rakyat,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ronald Kiandee (PN-Beluran) pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat.
Ronald sebelum itu mempersoalkan adakah Anwar menolak melaksanakan GST kerana ada kepentingan politik.
Mengulas lanjut, Anwar berkata kebimbangannya ialah sama ada pelaksanaan GST mampu menjamin rakyat tidak menanggung kesan negatif yang lebih besar.
Beliau turut meminta Ronald memberi jaminan sistem GST yang dilaksanakan di negara lain tidak akan memberikan kesan lebih buruk kepada rakyat.
“Saya bimbang satu, boleh tak Beluran jamin dalam sistem GST diperkenalkan di semua negara di dunia bahawa kesan kepada rakyat itu tidak lebih negatif.
“Sebab itu saya menolak rancangan memperkenalkan GST sekarang,” katanya.
Menjawab pertanyaan Howard Lee (PH-Ipoh Timur) berhubung cadangan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang supaya GST diperkenalkan semula, Anwar berkata hasil kutipan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ketika ini bersamaan 3.2% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), iaitu kadar sama seperti hasil GST pada 2017.
Berikutan itu katanya, tiada alasan untuk memperkenalkan semula GST atas dakwaan akan meningkatkan hasil negara.
Jelasnya, SST dikenakan ke atas peniaga, khususnya pada peringkat import, manakala GST merupakan cukai menyeluruh (broad-based tax) yang turut melibatkan pengguna.
“GST itu cukai kepada rakyat terbanyak. SST cukai kepada peniaga walaupun sebahagian kecilnya memang turun kepada rakyat,” katanya.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.