Nilai kesan pusat data terhadap alam sekitar, masyarakat, titah Raja Permaisuri Agong

Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah bertitah pihak berkuasa, sektor swasta serta masyarakat perlu menilai kesan pembangunan pusat data di negara ini, khususnya terhadap alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat.
“Kita perlu mempertimbangkan keperluan penggunaan elektrik dan air sangat tinggi, penyalahgunaan tanah serta kesan pusat data terhadap masyarakat kita, termasuk tahap bunyi bising dan kecerahan lampu yang digunakan sepanjang hari sampai ke waktu malam,” titah baginda pada Majlis Konvokesyen ke-70 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini, yang turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook UTM.
Raja Zarith Sofiah yang juga canselor UTM bertitah, kemajuan teknologi tidak boleh dipisahkan daripada kelestarian bumi, lebih-lebih lagi apabila aktiviti manusia memberi impak besar terhadap perubahan iklim, pencemaran, kehilangan biodiversiti dan sumber alam.
Justeru, baginda menyeru masyarakat berilmu memainkan peranan dalam menangani kerosakan alam semula jadi melalui perubahan sikap dan rasa bertanggungjawab memelihara bumi demi generasi akan datang.
Dalam pada itu, Raja Zarith Sofiah bertitah, teknologi kecerdasan buatan (AI) sepatutnya dimanfaatkan untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat, bukan meraih keuntungan ekonomi semata-mata.
Menurut baginda, sebagai universiti penyelidikan yang menerajui penubuhan Fakulti AI pertama di Malaysia, UTM memikul tanggungjawab penting dalam memastikan pembangunan teknologi terus dipandu etika, integriti dan nilai kemanusiaan.
Baginda turut mengingatkan graduan bahawa perkembangan pesat AI membawa peluang dan cabaran besar, sekali gus menuntut mereka untuk terus menimba ilmu serta kemahiran bagi menghadapi perubahan teknologi.
Majlis Konvokesyen UTM ke-70 selama enam hari sehingga 19 Nov ini yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar meraikan 7,369 graduan pelbagai peringkat pengajian, membabitkan 10 sesi penganugerahan.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.