Krisis Negeri Sembilan: Apa yang berlaku setakat ini

Krisis institusi diraja Negeri Sembilan yang tercetus pada April berlarutan hampir enam bulan, dengan kebuntuan semakin meruncing selepas PRN 1 Ogos hingga kini disifatkan sebagai krisis perlembagaan.
Krisis itu bermula selepas empat individu yang mendakwa sebagai undang mengumumkan kononnya Tuanku Muhriz Tuanku Munawir telah disingkirkan sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) kemudian berkata tiga daripada mereka sebenarnya bukan undang ketika pengisytiharan itu dibuat.
FMT mengimbas peristiwa utama yang berlaku di Negeri Sembilan sepanjang enam bulan lalu.
19 April
Dalam sidang media, empat individu yang mendakwa sebagai undang mengumumkan kononnya Tuanku Muhriz telah disingkirkan sebagai pemerintah negeri.
Bagaimanapun, mereka tidak mendedahkan alasan serta bukti bagi penyingkiran itu seperti yang dikehendaki Perlembagaan Negeri.
20 April
Menteri besar ketika itu, Aminuddin Harun, menolak tindakan berkenaan dengan berkata Mubarak Dohak khususnya telah pun dilucutkan sebagai Undang Luak Sungai Ujong kerana melanggar undang-undang adat.
Penyingkiran Mubarak disahkan DKU, badan adat tertinggi negeri, pada 17 April.

27 April
Umno menarik balik sokongan terhadap Aminuddin susulan cara beliau menangani krisis itu, sekali gus menyebabkan pentadbiran menteri besar berada dalam keadaan tidak menentu.
Bagaimanapun, ura-ura pertukaran kerajaan reda selepas Bersatu menarik diri daripada menyokong pembentukan kerajaan antara BN-Perikatan Nasional (PN), sekali gus menyebabkan Umno gagal memperoleh majoriti mudah.
5 Mei
Empat individu terbabit memfailkan saman pemula bagi mendapatkan perintah mahkamah supaya kerajaan negeri dan DKU menyerahkan minit mesyuarat DKU pada 17 April yang mengesahkan penyingkiran Mubarak.
7 Mei
Pakatan Harapan (PH) dan Umno bersetuju melakukan ‘gencatan politik’, manakala Aminuddin terus menerajui kerajaan negeri.
13 Mei
DKU memohon untuk mencabar bidang kuasa Mahkamah Tinggi Seremban mendengar saman berkaitan krisis itu, atas alasan mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa terhadap perkara berkenaan.
5 Jun
DUN dibubarkan selepas beberapa minggu ketegangan politik.
Mahkamah Tinggi kemudian membenarkan injunksi sementara bagi mengekalkan keadaan sedia ada di Negeri Sembilan ketika krisis adat dan perlembagaan itu berterusan.
Pada hari sama, Tunku Nadzaruddin Tuanku Jaafar ‘diisytiharkan’ sebagai Yang Dipertuan Besar ‘baharu’ oleh seorang daripada individu yang mendakwa dirinya undang dalam satu acara di hotel lima bintang di Melaka.
Bekas menteri besar Rais Yatim antara yang hadir dan mendakwa Negeri Sembilan kini mempunyai pemerintah baharu.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim pula berkata kerajaan persekutuan kekal mengiktiraf Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

9 Jun
Istana Negeri Sembilan berkata pengisytiharan Yang Dipertuan Besar ‘baharu’ itu tidak sah dan melucutkan gelaran warisan Tunku Panglima Besar daripada Tunku Nadzaruddin.
23 Jun
Mesyuarat Majlis Raja-Raja ditangguhkan, dilaporkan susulan krisis di Negeri Sembilan.
Raja-raja dikatakan mahu perkara itu diselesaikan oleh Yang Dipertuan Besar tanpa dibawa ke mahkamah.
25 Jun
Aktivis Badrul Hisham Shaharin, yang kemudiannya menjadi ketua Wawasan Negeri Sembilan, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerbitkan bahan menghasut berkaitan institusi diraja Negeri Sembilan.
8 Julai
DKU mendapat kebenaran memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap enam individu, termasuk empat ‘undang’ terbabit, kerana didakwa melanggar injunksi interim yang dikeluarkan pada 5 Jun.
Prosiding itu kemudian ditangguhkan sementara oleh Mahkamah Rayuan.
17 Julai
Empat ‘undang’ memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mendapatkan perintah mahkamah supaya Aminuddin menandatangani pengisytiharan yang kononnya menyingkirkan Tuanku Muhriz.
Pada 10 Ogos, DKU memohon mencelah dalam kes itu bagi mencabar pengisytiharan berkenaan. Pengurusan kes seterusnya ditetapkan pada 7 Okt.
30 Julai
Tuanku Muhriz melucutkan darjah kebesaran negeri yang dikurniakan kepada Rais.
1 Ogos
DKU mendedahkan tiga daripada empat ‘undang’ yang cuba menyingkirkan pemerintah negeri pada 19 April sebenarnya bukan undang ketika itu.
Menurut DKU, dua daripada mereka telah pun dipecat manakala seorang lagi tidak pernah dilantik secara rasmi, sekali gus menegaskan kedudukan Tuanku Muhriz sebagai pemerintah yang sah.
Pada malam sama, gabungan BN-PN memperoleh majoriti dua pertiga dalam PRN bagi membentuk kerajaan negeri baharu.
2 Ogos
Adun tujuh penggal daripada Umno, Ismail Lasim, mengangkat sumpah sebagai menteri besar di hadapan Tuanku Muhriz.
Pelantikannya disifatkan mengejutkan kerana beliau sebelum itu tidak disebut antara calon utama bagi jawatan berkenaan.

6 Ogos
Ketua Umno Negeri Sembilan Jalaluddin Alias menolak dakwaan beliau mahu menggulingkan Ismail sebagai menteri besar dan menyingkirkan Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar.
7 Ogos
Seramai 10 Adun BN dan PN mengangkat sumpah sebagai exco Negeri Sembilan, terdiri daripada tujuh wakil Umno serta masing-masing seorang daripada MCA, PAS dan Wawasan.
5 Sept
Dalam satu kenyataan, empat ‘undang’ mendakwa Ismail telah menandatangani pengisytiharan untuk menyingkirkan Tuanku Muhriz.
Keesokan harinya, Ismail tidak menjawab secara langsung dakwaan itu tetapi menegaskan taat setia sepenuhnya kepada Tuanku Muhriz.
8 Sept
Empat ‘undang’ itu mengadakan sidang media dan menunjukkan dokumen pengisytiharan yang didakwa ditandatangani menteri besar.
9 Sept
Ismail mendakwa beliau menandatangani dokumen itu ‘di bawah paksaan’ serta menegaskan pengisytiharan berkenaan tidak sah.
Beliau turut membuat laporan polis supaya perkara itu disiasat.
16 Sept
Ahli exco Negeri Sembilan mengeluarkan kenyataan mendakwa penurunan takhta Tuanku Muhriz pada April adalah sah dan dakwa Tunku Nadzaruddin sebagai pemerintah baharu negeri.
17 Sept
Ismail menyokong kenyataan exco itu dan mengarahkan setiausaha kerajaan negeri meneruskan proses mewartakan pengisytiharan berkenaan.
Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara (AGC) berkata pengumuman itu tidak mempunyai kesan undang-undang kerana menteri besar dan exco tidak mempunyai kuasa menyingkirkan Yang Dipertuan Besar.
DKU turut menegaskan Tuanku Muhriz kekal sebagai pemerintah yang sah.
18 Sept
Dengan merujuk kenyataan AGC, setiausaha kerajaan negeri enggan mewartakan pengisytiharan penyingkiran Tuanku Muhriz.
20 Sept
Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan semua ahli exco kecuali Ismail berkuat kuasa serta-merta.
Istana berkata 10 Adun terbabit melanggar sumpah jawatan serta ikrar taat setia yang dibuat di hadapan Yang Dipertuan Besar pada 7 Ogos.
21 Sept
Ismail mempertikaikan penamatan khidmat anggota exconya dengan berhujah bahawa Yang Dipertuan Besar tidak boleh menamatkan jawatan mereka tanpa nasihat atau permintaan menteri besar.
22 Sept
Ismail berkata exco memutuskan untuk menggantung setiausaha kerajaan negeri dan penasihat undang-undang negeri, selain mengumumkan dua individu sebagai pengganti sementara.
Bagaimanapun, AGC berkata exco tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.
23 Sept
Pertemuan antara menteri besar, bekas ahli exconya dan Tunku Nadzaruddin dibatalkan di tengah-tengah kawalan ketat polis.
Sementara itu, setiausaha kerajaan negeri meneruskan tugas seperti biasa.
24 Sept
Sepuluh bekas ahli exco dihalang memasuki pejabat masing-masing susulan pembatalan pelantikan mereka, walaupun Ismail menegaskan mereka masih memegang jawatan.
Pada hari sama, pembatalan pelantikan mereka diwartakan secara rasmi.
25 Sept
Rais mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menghasut berkaitan pengisytiharan yang kononnya melantik Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan baharu.
Bekas Yang Dipertua Dewan Negara itu minta dibicarakan.

26 Sept
Peguam Negara Dusuki Mokhtar mengesahkan pembatalan pelantikan 10 ahli exco itu.
Beliau berkata Perlembagaan Negeri memperuntukkan bahawa seseorang ahli exco, selain menteri besar, memegang jawatan selama diperkenankan Yang Dipertuan Besar.
Sumber turut memberitahu FMT bahawa Bukit Aman akan memanggil 10 bekas ahli exco itu untuk dirakam keterangan berhubung krisis berkenaan.
Ketua polis negara mengesahkan perkara itu pada keesokan harinya.
27 Sept
Desakan supaya Ismail meletak jawatan sebagai menteri besar semakin meningkat, dengan kumpulan bekas penjawat awam kanan G25 antara yang membangkitkan perubahan pendiriannya beberapa kali dalam menangani krisis itu.
Pengerusi BN Zahid Hamidi mengarahkan Ismail menghadap Tuanku Muhriz dan empat undang bagi mencari penyelesaian secara baik terhadap krisis berkenaan.
Zahid turut mengadakan pertemuan dengan semua 25 Adun BN dan PN di ibu pejabat Umno pada sebelah malam.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.