6 didakwa tanpa hadir kes samun bersenjata kondo mewah KL

Enam warga asing dituduh tanpa kehadiran mereka di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam atas pertuduhan melakukan samun berkumpulan menggunakan senjata sebuah kondominium mewah di Jalan Ampang membabitkan kerugian RM2.91 juta.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, berkata mereka didakwa atas kesalahan melakukan samun berkumpulan menggunakan senjata di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan disebat.
Fadil berkata, pihak pendakwaan telah memohon mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap enam lelaki itu, dengan tarikh sebutan kes ditetapkan pada 16 Okt ini.
“Pihak polis akan meneruskan proses permohonan Notis Merah melalui Interpol bagi mengesan dan memburu semua suspek terbabit,” katanya dalam kenyataan.
Sekumpulan lelaki bertopeng, bersarung tangan dan bersenjatakan pisau memecah masuk sebuah unit kediaman di Pavilion Embassy, Jalan Ampang, antara 2 hingga 3 petang 7 Sept lalu.
Mereka melarikan wang tunai, barang kemas, jam tangan mewah dan pasport seorang warga China berusia 28 tahun, selain merosakkan sebuah telefon bimbit.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.