Kerugian ditipu dalam talian sejak 2023 cecah RM7.33 bilion

Sindiket penipuan dalam talian mengaut RM7.33 bilion daripada mangsa di Malaysia antara 2023 hingga bulan lalu, menurut Kementerian Dalam Negeri.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata polis merekodkan 192,869 kes sepanjang tempoh itu, yang membawa kepada 75,266 individu ditahan dan 69,665 orang didakwa.
Menurutnya, dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini saja, sebanyak 56,802 kes direkodkan dengan jumlah kerugian mencecah RM1.56 bilion.
Menjawab soalan V Ganabatirau (PH-Klang) di Dewan Rakyat, beliau berkata, skim pelaburan mencatatkan jumlah kerugian tertinggi sejak 2023, iaitu RM3.4 bilion, diikuti penipuan telekomunikasi RM2.13 bilion dan penipuan beli-belah dalam talian sebanyak RM509 juta.
Jelasnya, enam daripada 10 mangsa penipuan dalam talian terdiri daripada wanita, manakala pekerja sektor swasta ialah kumpulan mangsa terbesar.
Dalam tempoh sama, polis mengesan 254,546 akaun keldai, iaitu akaun bank yang digunakan untuk menerima dan memindahkan wang hasil kegiatan penipuan. Sebahagian besar akaun itu didapati milik pelajar yang membenarkan penipu menggunakannya.
Saifuddin berkata, sindiket penipuan hanya memerlukan lima minit untuk memindahkan wang melalui beberapa akaun sebelum mengeluarkannya.
“Panggilan pertama daripada mangsa sangat penting,” katanya sambil menggesa mangsa penipuan segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997.
Beliau berkata, NSRC menerima 30,000 panggilan sepanjang bulan lalu saja, dengan purata 1,000 panggilan sehari, yang sebahagiannya akibat peningkatan kesedaran orang ramai.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.