DAP pertahan pendirian, dakwa Umno uji batas perjanjian kerajaan perpaduan

DAP membidas tuduhan Umno bahawa parti itu sedang menjejaskan hubungan dalam kerajaan perpaduan, sebaliknya menuduh Umno menguji batas persefahaman antara parti dalam gabungan itu
Pengerusi Biro Undang-Undang DAP Ramkarpal Singh membangkitkan hubungan dan kerjasama politik berterusan antara Umno-Barisan Nasional (BN) dengan PAS, meskipun Umno merupakan rakan teras dalam kerajaan perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH).
“Bekerjasama dengan pembangkang sambil pada masa sama menjadi sebahagian daripada pentadbiran menimbulkan persoalan serius mengenai keikhlasan dan komitmen Umno terhadap mandat bersama gabungan itu, yang boleh menjejaskan kestabilan kerajaan dengan serius,” kata Ramkarpal dalam satu kenyataan.
“Perkara ini jelas kelihatan dalam PRN Johor, Negeri Sembilan dan PRN Melaka yang sedang berlangsung.”
Timbalan Setiausaha Agung DAP itu turut membangkitkan corak kritikan terbuka berterusan oleh beberapa pemimpin Umno terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, meskipun perdebatan dalaman secara membina adalah sihat dalam mana-mana gabungan, serangan terbuka berterusan hanya melemahkan kewibawaan Anwar dan menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap kerajaan secara keseluruhan.
Beliau turut merujuk gesaan pemimpin Umno supaya Parlimen dibubarkan lebih awal, sedangkan BN dan PH sedang bersama-sama menerajui pentadbiran negara, yang menurutnya menunjukkan sikap tidak menghiraukan kestabilan yang dijanjikan kepada rakyat.
Ramkarpal mengulas kenyataan Ketua Penerangan Umno Azalina Othman Said yang mengkritik Pengerusi DAP Gobind Singh Deo kerana mencabar Presiden Umno Zahid Hamidi supaya meletakkan jawatan sekiranya tidak menyokong kepimpinan Anwar sebagai perdana menteri.
Kenyataan Gobind itu dibuat sebagai respons terhadap kenyataan Zahid pada Selasa bahawa pembubaran Parlimen lebih baik berbanding rombakan Kabinet susulan peletakan jawatan Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook sebagai menteri pengangkutan.
Azalina berkata, kenyataan Gobind itu ‘dikesali’ dan tidak banyak membantu memperkukuh semangat kerjasama dalam kerajaan perpaduan.
Beliau berkata, mengeluarkan kata dua secara terbuka kepada presiden parti rakan gabungan bukan tindakan membina dan tidak selaras dengan semangat perjanjian kerajaan perpaduan.
Bagaimanapun, Ramkarpal menegaskan bahawa perjanjian kerajaan perpaduan dimeterai terutamanya bagi memastikan kestabilan kerajaan.
Beliau meminta Azalina supaya ‘nilai secara jujur’ mengenai komitmen partinya terhadap kesinambungan kerajaan yang stabil, sambil menyatakan tindakan Umno kebelakangan ini telah menjejaskan kestabilan dan semangat perjanjian berkenaan.
“Jika timbul sebarang dakwaan mengenai pengkhianatan kepercayaan atau pelanggaran syarat kerjasama politik dan perjanjian berkenaan, rekod tindakan masing-masing sudah cukup menjelaskan segala-galanya,” katanya.
“Tindakan Umno, bukannya DAP, yang telah menjejaskan persefahaman dan menguji batas perjanjian berkenaan.”
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.