Perubahan pemilikan DNB: Apa kesan terhadap pilihan 5G Malaysia?

Perubahan pemilikan Digital Nasional Bhd (DNB) kembali mencetuskan persoalan mengenai hala tuju rangkaian 5G Malaysia, khususnya sama ada negara akan terus mempunyai dua pilihan teknologi berbeza.
Perhatian kini tertumpu kepada peranan lebih besar syarikat telekomunikasi (telco) dalam DNB dan kesannya terhadap keputusan operasi, pelaburan serta pemilihan vendor teknologi.
FMT menjelaskan rasional di sebalik penggunaan dua rangkaian 5G, perubahan yang bakal berlaku dan langkah diperlukan bagi memastikan pilihan teknologi kekal terbuka.
Mengapa Malaysia memilih dua rangkaian 5G?
Peralihan Malaysia daripada model satu rangkaian borong kepada dua rangkaian bertujuan meningkatkan persaingan, memperluas pilihan dan mengurangkan kebergantungan kepada satu penyedia.
DNB menggunakan peralatan Ericsson, manakala rangkaian kedua kendalian U Mobile bergantung kepada teknologi Huawei dan ZTE.
Perbezaan itu bukan sekadar membabitkan operator, tetapi turut meliputi peralatan, perisian dan sistem sokongan yang membentuk rangkaian masing-masing.
Pengarah Kanan Penyelidikan ICT Frost & Sullivan, Quah Mei Lee, sebelum ini berkata persekitaran dua rangkaian boleh memberi kelebihan geopolitik kepada Malaysia dengan membolehkan pelabur yang mempunyai keperluan berbeza dari segi keselamatan siber, perolehan dan peraturan menggunakan pendekatan teknologi masing-masing.
Mengulas perkara itu, Asrul Hadi Abdullah Sani daripada The Asia Group berkata kelebihan berkenaan bergantung kepada keupayaan Malaysia mengekalkan dua rangkaian dengan teknologi berbeza, bukannya kedua-duanya menggunakan teknologi sama.
Apa yang berubah dalam pemilikan DNB?
Ketika ini, DNB dimiliki bersama kerajaan melalui Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc), CelcomDigi, Maxis dan YTL Power.
Susulan usaha pembiayaan RM5.2 bilion, MoF Inc dijangka keluar sebagai pemegang saham, manakala tiga syarikat telekomunikasi itu dijangka memegang kepentingan sama rata.
Kerajaan bagaimanapun akan mengekalkan pegangan khas bagi membolehkannya mengawasi perkara strategik.
Perubahan itu dijangka memberi telco pengaruh lebih besar terhadap operasi, kos dan keputusan pelaburan DNB.
Namun, peralihan pemilikan tidak bermakna pembekal teknologi akan berubah serta-merta. Kerjasama 10 tahun DNB dengan Ericsson bermula pada 2021.
Persoalan lebih besar ialah sama ada keputusan perolehan pada masa depan boleh mengecilkan pilihan teknologi, walaupun Malaysia masih mempunyai dua operator rangkaian.
Penyelidik PhD di Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam, Singapura, Jamil Ghani memberi amaran kebergantungan kepada ekosistem pembekal sama boleh mendedahkan kedua-dua rangkaian kepada risiko serupa, termasuk kelemahan perisian, gangguan bekalan dan sekatan eksport.
Bagaimanapun, mengekalkan teknologi kritikal yang berbeza tidak bermakna setiap aset perlu digandakan kerana menara telekomunikasi dan sebahagian infrastruktur gentian optik masih boleh dikongsi, katanya.
Bagi sektor perniagaan, pilihan teknologi itu turut menentukan keupayaan syarikat menaik taraf sistem dan menangani gangguan operasi.
Presiden Pengasas Persatuan Rantaian Bekalan Mampan dan Inovasi Malaysia, Lorela Chia, sebelum ini memberitahu FMT persekitaran rangkaian berbeza memberi lebih banyak pilihan kepada pengeluar ketika menghubungkan sistem atau menukar pembekal.
Katanya, perkara itu amat penting kepada pembekal kecil yang lazimnya menggunakan gabungan mesin lama, sistem automasi baharu dan pelbagai platform awan.
“Bagi mereka, menukar teknologi tidak sepatutnya bermakna melupuskan apa yang masih berfungsi atau bermula semula dari kosong,” katanya.
Ketidakpastian dasar turut boleh menjejaskan keputusan pelaburan.
Ahli ekonomi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Noorihsan Mohamad, berkata ketidakpastian mengenai sokongan teknologi pada masa depan boleh menyebabkan perniagaan menangguhkan perbelanjaan, khususnya bagi sistem tersuai, integrasi dan latihan yang sukar mendapatkan semula kosnya.
Bagaimana memastikan dua rangkaian kekal berbeza?
Ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada 22 Okt, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, menggesa Putrajaya mengekalkan kedua-dua laluan teknologi Barat dan China.
Beliau berhujah, kewujudan alternatif bermakna penting untuk melindungi kedaulatan digital serta keyakinan pelabur.
Perkara itu menimbulkan persoalan sama ada pemisahan teknologi perlu dijadikan komitmen dasar yang jelas, bukannya bergantung semata-mata kepada perjanjian pembekal sedia ada.
Antara cadangan Asrul ialah mewujudkan tadbir urus yang jelas dan peraturan perolehan telus bagi memastikan kedua-dua rangkaian kekal berbeza dari segi teknologi, berdaya maju secara komersial dan tidak terjejas oleh perubahan pemilikan atau pembekal.
“Jaminan awam sememangnya membantu, tetapi ia tidak mencukupi,” katanya.
Penganalisis Samirul Ariff Othman pula mengingatkan, aturan pembekal ketika ini tidak boleh dianggap sebagai jaminan kekal yang Malaysia akan terus mempunyai dua blok teknologi berbeza.
Katanya, perlindungan lebih jelas mungkin diperlukan, termasuk peraturan pertukaran pembekal, penilaian bebas, pemberitahuan kepada pelanggan dan aturan peralihan.
Langkah itu penting bagi memastikan pemisahan teknologi menjadi dasar yang jelas, bukannya bergantung kepada perjanjian komersial semasa operator.
Perubahan pemilikan DNB pada asasnya menentukan pihak yang akan mengemudi syarikat itu.
Namun, persoalan lebih besar ialah sama ada Malaysia mampu mengekalkan pilihan teknologi yang meyakinkan perniagaan untuk terus melabur tanpa bimbang sistem mereka terpaksa berubah atau dibina semula pada masa depan.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.