Teguran PAS kepada Wawasan undang persepsi ‘dua kelas’ dalam PN

Teguran PAS Jasin kepada Wawasan supaya tidak mendahului pucuk kepemimpinan Perikatan Nasional (PN) berhubung kerusi PRN Melaka mengundang persepsi wujudnya ‘dua kelas’.
Penganalisis berkata PAS tidak boleh menentukan Wawasan perlu diam hanya kerana PAS lebih lama berada dalam PN.
“Jika PN mahu dilihat sebagai sebuah gabungan yang matang, jangan wujudkan dua kelas dalam gabungan: parti lama boleh berunding, parti baharu hanya perlu akur,” kata Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri.
Penganalisis di Global Asia Consulting itu menambah reaksi parti lama terhadap suara parti baharu akan memperlihatkan sama ada sesebuah gabungan mengamalkan perkongsian kuasa “atau sekadar berkongsi nama”.

“Apabila sebuah parti sudah menjadi sebahagian daripada gabungan, adakah ia hanya berhak mengikut keputusan atau turut berhak menyuarakan tuntutan?”
Semalam, Yang Dipertua PAS Jasin, Kamaruddin Sedik, menasihatkan Wawasan sebagai anggota baharu supaya jangan mendahului pucuk kepemimpinan PN dan “akur sahaja dengan keputusan yang bakal dibuat kelak”.
Kamaruddin dilaporkan menjawab kenyataan Naib Presiden Wawasan, Rahim Tamby Chik, bahawa PN mungkin meletakkan calon di semua kerusi pada PRN Melaka jika gagal mencapai rundingan dengan Barisan Nasional (BN).
Rahim juga berkata Wawasan akan bertanding di Bemban dan Sungai Udang tanpa mengira sama ada wujud kerjasama dengan BN atau tidak.
Dua kerusi itu kini disandang Bersatu, yang berselisih dengan PAS walaupun masing-masing komponan PN. Pada PRN 2021, Bersatu menang di Bemban dan Sungai Undang dengan kelebihan 530 dan 328 undi sahaja.
Zaharuddin berkata Wawasan mempunyai sebab untuk menyatakan hasrat bertanding di Bemban dan Sungai Udang kerana penyandangnya kini menyokong parti itu.
“Menyatakan hasrat tidak sama dengan mempunyai hak mutlak terhadap kerusi. Keputusan akhir tetap perlu melalui rundingan PN,” katanya.
Zaharuddin juga berkata, ketika PAS membuka ruang perbincangan dengan Umno mengenai kerjasama politik, Wawasan dilihat tidak berada dalam ruang rundingan yang sama.
“Jadi apabila Wawasan menyatakan pendirian, mengapa pula ia dianggap ‘over’?” katanya.
Akar umbi PAS resah
Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya berpendapat teguran PAS Jasin itu mencerminkan keresahan di peringkat akar umbi apabila Wawasan secara terbuka menamakan Bemban dan Sungai Udang sebelum rundingan PN dimuktamadkan.

“PAS mungkin melihat tindakan tersebut sebagai usaha mencipta tuntutan awal dan tekanan terhadap kepimpinan PN,” katanya.
“Apabila kita lihat dengan lebih terperinci, Bemban terletak dalam Parlimen Jasin maka PAS Jasin tentu merasakan pandangan serta kekuatan jenteranya mesti dihormati.
“Manakala Wawasan sebagai parti baharu juga belum membuktikan kekuatan akar umbi dan peluang boleh menang di kedua-dua kawasan tersebut.”
Semalam, Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh mengumumkan DUN Melaka bubar hari ini, membuka laluan kepada PRN yang mesti diadakan dalam tempoh 60 hari.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.