Malaysia timbang kapal USCG kedua, kos baik pulih jadi penentu

PUTRAJAYA: Malaysia sedang mempertimbangkan tawaran Amerika Syarikat (AS) untuk menerima kapal kedua milik United States Coast Guard (USCG), kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.
Bagaimanapun, beliau berkata keputusan hanya akan dibuat selepas Kementerian Dalam Negeri menerima laporan pemeriksaan bagi memastikan kapal berkenaan masih sesuai digunakan dan kos penyelenggaraannya munasabah.
Katanya, ketua setiausaha KDN akan mengetuai pemeriksaan bersama pakar Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), termasuk jurutera.
“Bila kita bawa balik (kapal yang pertama) tahun lepas…Dia kemudian menulis kepada saya untuk menawarkan kapal yang kedua.
“Jadi, pertama kita mesti buat pemeriksaan sendiri. Dia tawarkan satu bab. Kita sendiri kena puas hati,” katanya dalam sidang media selepas perhimpunan bulanan KDN.
Saifuddin berkata, tawaran kapal kedua itu dibuat selepas Malaysia menerima dan menggunakan kapal pertama.
Beliau berkata, kerjasama antarabangsa bukan sahaja membolehkan Malaysia memperoleh aset, malah merangkumi latihan, operasi bersama dan perkongsian risikan.
Katanya, penerimaan kapal pertama turut memerlukan kerja penambahbaikan, dengan sebahagian kos ditanggung AS.
“Jadi, kombinasi kos yang kita keluarkan dan yang dia bagi jumlahnya itu jauh lebih rendah berbanding pembelian satu aset baru. Jadi saya fikir itu kaedah yang munasabah,” katanya.
Bagaimanapun, Saifuddin menegaskan Malaysia tidak akan menerima tawaran itu jika pemeriksaan mendapati kapal berkenaan tidak lagi sesuai digunakan atau kos baik pulih terlalu tinggi.
Sementara itu, Saifuddin berkata Kementerian Kewangan secara prinsip bersetuju mempertimbangkan kenaikan elaun anggota Rela daripada kadar semasa RM8 sejam.
Katanya, lebih 35,000 anggota terbabit dalam tugasan termasuk mengawal kawasan larangan, membantu kawalan lalu lintas dan tugas keselamatan lain.
Beliau berkata, kadar baharu belum ditetapkan, namun perlu berada pada ‘julat yang munasabah’ mengambil kira kemampuan kewangan kerajaan.
Saifuddin berkata, kira-kira 1,300 anggota Briged Rela Siswa Siswi (Relasis) di universiti turut dicadang menerima elaun RM8 sejam bagi latihan mereka.
Katanya, mereka tidak menerima elaun sejak Relasis ditubuhkan pada 2017, dengan implikasi kewangan dianggarkan RM400,000 setahun.
Dalam perkembangan lain, Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail, berkata dakwaan Menteri Besar Negeri Sembilan Ismail Lasim dipaksa menandatangani dokumen proklamasi bagi menurunkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan masih dalam siasatan.
Katanya, kertas siasatan mengenai dakwaan itu sudah dibuka.
Saifuddin berkata, perkembangan lanjut akan dikongsi jika terdapat kemajuan dalam siasatan.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.