KPKT tutup lebih 6,000 tapak sampah haram, termasuk dikendali sindiket

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menutup lebih 6,000 tapak pembuangan sampah haram dalam tempoh tiga tahun lalu, termasuk yang didakwa dikendalikan sindiket bagi mengelak bayaran pelupusan.
Menterinya Nga Kor Ming berkata sebanyak 3,600 tapak ditutup oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) sepanjang tahun lalu sahaja.
“Bagi saya, ini bukan saja haram, tapi haram jadah kerana adalah sangat penting kita nak pastikan persekitaran alam sekitar negara kita dibela dan dipertahankan,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) mengenai tindakan terhadap kegiatan pembuangan sampah haram, termasuk dakwaan pembabitan kartel dan kontraktor yang cuba mengelak bayaran pelupusan.
Roslan turut membangkitkan keperluan mengurangkan jumlah sampah dihantar ke tapak pelupusan dan meningkatkan kadar kitar semula seperti diamalkan di beberapa negara lain.
Nga berkata SWCorp dibekalkan lebih 100 motosikal tahun lalu bagi memudahkan anggota penguat kuasa menjalankan pemantauan dan serbuan.
Beliau memberi amaran individu terbabit dalam sindiket pembuangan sampah haram boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda RM100,000 mengikut Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), jika sabit kesalahan.
Katanya, kementerian turut melaksanakan hukuman khidmat masyarakat bagi mendidik orang ramai mengenai tanggungjawab menjaga kebersihan.
“Setakat pagi ini, lebih 17,000 kompaun telah pun dikeluarkan. Lebih 2,000 orang telah diperintahkan oleh mahkamah untuk menjalankan hukuman khidmat masyarakat,” katanya.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.