PM tidak puas hati gaji pekerja swasta masih rendah

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau masih belum berpuas hati terhadap sesetengah syarikat besar swasta yang masih mengekalkan kadar gaji rendah walaupun mencatat keuntungan tinggi.
Menurut beliau, langkah lebih tegas perlu diambil kerajaan untuk meningkatkan tahap gaji itu yang akan diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2027, Oktober ini.
Katanya, kerajaan juga akan mencari jalan untuk berunding dengan syarikat terbabit supaya kadar gaji pekerja dinaikkan selaras dengan tahap produktiviti di Malaysia.
“Saya masih belum berpuas hati kerana syarikat-syarikat besar, ladang-ladang, industri, kilang, yang untungnya sangat tinggi, tetapi kadar upahnya rendah.
“Saya pernah buat kajian dulu tentang kenaikan produktiviti dan kenaikan upah. Korea umpamanya, Korea Selatan, produktiviti tinggi, upah pun ikut tinggi. Walaupun tak sama, tetapi ia meningkat mengikut kadar upah. Di Malaysia, produktiviti terus meningkat, tetapi kadar upah itu meningkat sangat rendah.
“Saya setuju dengan saranan bahawa mesti ada langkah yang lebih tegas dan insya-Allah saya akan umumkan pada hari Belanjawan Oktober nanti,” katanya sambil memaklumkan kenaikan gaji di peringkat penjawat awam telah dan sedang dilaksanakan,” katanya ketika berucap pada Himpunan Mesra Alumni UiTM Bersama Perdana Menteri di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam.
Mengulas usaha kerajaan memperkasakan agenda Bumiputera, Anwar berkata kerajaan turut memberi jaminan bahawa perkara itu antara fokus yang bakal diumumkan dalam pembentangan belanjawan itu.
“Tetapi saya yakin agenda Bumiputera boleh dikembangkan dengan jaminan keadilan sosial dan tidak melanggar jaminan keselamatan dan keselesaan rakyat yang bukan Melayu.
“Saya yakin dengan peruntukan yang ada, malah dalam belanjawan ini, agenda Bumiputera keseluruhannya, kita mampu tingkatkan,” katanya.
Mengenai peruntukan kepada sekolah pula, beliau mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak membandingkan jumlah peruntukan yang diberikan antara sekolah kebangsaan dengan sekolah jenis kebangsaan kerana keadaan setiap kawasan adalah berbeza.
“Kalau kita bercakap soal peruntukan, bagaimana kita hendak membandingkan sekolah seperti Chung Hwa yang mempunyai kemudahan paling baik dengan sekolah di Manek Urai, Kapit?
“Sudah tentu sekolah di Manek Urai perlu diberikan lebih perhatian kerana kawasannya terpencil dan ramai keluarga yang berpendapatan rendah. Takkan kita mengharapkan PIBG mengutip RM5,000 setahun? RM5,000 setahun pun sudah sukar bagi mereka.
“Sebab itu saya katakan, keadilan bukan bermaksud persamaan. Keadilan bukan memberikan layanan yang sama, tetapi memberikan perhatian dan sokongan berdasarkan keperluan masing-masing,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.