Bekas hakim parah diserang, taikun tekstil antara diarah bela diri

Mahkamah Sesyen semalam memerintahkan taikun tekstil, Pavitar Singh Manjeet Singh, dan seorang lagi lelaki membela diri atas pertuduhan bersubahat dalam satu serangan yang mengakibatkan seorang bekas hakim parah, tiga tahun lalu.
Hakim Mazuliana Abdul Rashid, berkata pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Pavitar Singh Manjeet Singh, 57, pemilik Gulati’s Silk House, dan Nor Imran Nordin.
Mereka didakwa bersubahat dengan Shahrulnizam Maimun dan Asyraf Sharin bagi menyebabkan cedera parah terhadap Jagjit Singh Bant Singh menggunakan pemutar skru, sekitar 12.50 tengah hari, berhampiran Solaris Dutamas, pada 19 Okt 2023.
Serangan tersebut yang dipercayai berpunca daripada perbalahan keluarga, menyaksikan Jagjit diserang dua penyerang yang berpura-pura mahu mendapatkan perkhidmatan guaman untuk memasuki pejabat guamannya di pusat beli-belah Publika.
Seorang lagi peguam yang cuba membantu Jagjit turut diserang.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 109 yang dibaca bersama Seksyen 326 Kanun Keseksaan, membawa pemenjaraan sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan. Pesalah juga boleh dikenakan denda atau sebatan.
Shahrulnizam dan Asyraf sudah dituduh berkait serangan berkenaan dan dijatuhi hukuman penjara dua tahun serta satu sebatan selepas mereka mengaku salah, pada 2023.
Hukuman penjara mereka bagaimanapun ditingkatkan kepada tujuh tahun selepas pihak pendakwaan membuat rayuan.
Mazuliana menetapkan tujuh hari bermula 19 Okt depan untuk Pavitar dan Nor Imran membela diri.
Timbalan Pendakwa Raya Wafa Zainal Abidin mengendalikan pendakwaan, manakala Jacky Loi dan Lim Chen Chow mewakili Pavitar, manakala Amer Aizat Shamsuddin mewakili Nor Imran.
Peguam N Sivananthan dan Jasmine Cheong bertindak sebagai peguam pemerhati bagi pihak firma guaman tersebut.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.