PunchLagos debunks worker’s death at GNI building demolitionCNN TürkMısır'da tanker yangını faciası! 30 kişi hayatını kaybettiCBC NewsThe National | Wegovy, Ozempic pose rare vision loss risk: Health Canada한겨레[속보] 윤석열, ‘한덕수 재판’ 위증 혐의 무죄 확정ZDF heuteAktuelle Pressemitteilungen des ZDFGlobal NewsUkrainians in Canada wait for permanent residency as calls grow for more pathways경향신문“경계 초월 상수도 행정 협력”···화천군과 춘천시, 인접한 면지역에 상호 수돗물 공급 추진New Straits TimesBOJ's Tamura signals chance of faster-pace interest rate hikesCNN BrasilSaldo da megaoperação no Rio aponta para mais de 400 prisões de foragidosThe Sydney Morning HeraldChristie Whelan Browne plays both ingenue and fading starlet in this sharp tale of rivalry中国新闻网外交部亚洲事务特使邓锡军同缅甸民族团结与实现和平协商委员会秘书敏乃会谈Het Laatste NieuwsAustralië neemt wet voor online veiligheid aan: techreuzen riskeren boetes van miljoenen dollars
The Daily Newsstand · Free, Always
Thursday, November 26, 2026

Segenggam 50 sen untuk menelefoni Pak Samad Said

Translate

faisal tehrani

Entah berapa banyak agaknya jumlah wang siling 50 sen yang saya genggam, turut terisi mengembung saku di kedua-dua belah seluar. Semata untuk menghubungi Pak Samad Said dari telefon awam berwarna kuning yang sobek berkarat di bucu.

Setiap kali dering berlaga di gegendang menalun, jantung saya tidak berhenti berdetak bergetar dengan keras. Setiap kali juga, suara Kak Rashidah menyambut di hujung. Setiap kali itu juga saya tidak dapat menduga rasanya. Saya dengan sedikit segan akan merengek meminta bicara dengan Bapak. Kak Rashidah akan bersuara lembut, memanggilkan; “Pak, Faisal…”

Seperti selalunya Bapak akan meladeni saya sehingga ke siling 50 sen saya yang terakhir. Malam melewat, tetapi kesungguhan Bapak kekal mengawal.

Saya mungkin terlalu mementingkan diri. Saya ingin melahap segala ilmu dan pengalaman Bapak untuk diri saya sendiri. Seolah saya ingin menyedut apa sahaja dari sosok tubuh yang kecil itu tanpa nanti-nanti. Saya tidak memikirkan apakah perasaan Kak Rashidah, isteri Bapak. Atau keperluan Az, anaknya yang masih bersekolah.

Di kuburan, tengahari Rabu; dengan kawanan merpati menyinggah dan halai-balai penziarah, saya menangis memburam kaca mata untuk akhirnya berterima kasih kepada Kak Rashidah yang juga sudah sendu dalam telekung syahdu, “Terima kasih Kak kerana meminjamkan saya Bapak, seluruh alam remaja saya terbangun sebetulnya adalah kerana Bapak.”

Kepada Az, saya tersekat-sekat mengaku dalam dakapannya, “Terima kasih Az kerana berkongsi Bapak dengan saya.”

Sebaik beroleh maklumat mengenai Bapak, saya bersegera ke Hospital Kuala Lumpur. Hati kecil saya sedang menafikan, bahawa detik itu sedang menghampiri. Serasa bergegar stereng kenderaan, ikut berhenjutan dengan bahu. Langit keruh, dan saya membayangkan wira bukit bangsa sedang terdampar. Perlahan-lahan semuanya bergulungan datang semula, bagai ombak kenangan yang melanda berkali-kali.

Tiga puluh lebih tahun lalu, Bapak di tiang Masjid Negara, menghabiskan juzuk-juzuk al-Quran seusai sembahyang Jumaat, dan membiarkan saya menanti terperuk di sebalik tembok. Selalu akan ada telaah buku. Saya akan berteleku mendengar nama Mo Yan, Gabriel Garcia Marquez, Manuel Puig, Rabindranath Tagore, Rumi, Iqbal, Patrick White, serta sejumlah pengarang besar Rusia dengan hati-hati, meminta disimbah segala titah untuk menyelesaikan naskah-naskah itu. Demi Allah, Bapak sungguh pemurah.

Buku-buku itu, saya selalu terlongo, akan berbau harum dari toko. Naskah yang masih semerbak ditandatangani, dengan jeling saya yang puas. Selesai Asar, kami akan bergerak ke Mcggoo Deli, di nombor 85, Jalan Tun H S Lee. Anak-anak kru kafe itu sudah menanti dengan senyum. Saya selalu akan memesan croissant disumbat tuna. Kak Rashidah akan tiba, dengan kemanisan yang tidak putus. Saya akan mendengar Bapak memberitahu, “Shidah saya tertinggal payung, atau Shidah saya terlupa akan itu, akan ini…” Sentiasa ada aneka kekesalan. Kak Rashidah akan memandang saya dengan mata bening, “Tak apalah, nak buat macam mana.”

Kadang-kadang sesi perguruan tersebut akan tergendala beberapa minggu, kerana Bapak ke Teluk Melano atau entah ke Miri, barangkali, selalu dengan Marzuki Ali. Bapak akan mengusik, “Ya, ada buku sementara Bapak tiada, jangan terlalu iri.”

Buku-buku pemberian Bapak itu selain mahal, terlalu susah untuk saya baca. Ia sungguh sasterawi. Ia dalam bahasa Inggeris. Kamus ringkas saya tidak menampung kalimat langka yang dijejerkan. Selaku siswa syariah yang bergulat dengan bahasa Arab, halaman buku yang Bapak suguhkan sangat membikin lara. Bertahun, akhirnya makan tahun tanpa saya sedari bahasa Inggeris saya meluru membaik kerana ‘The English Patient’, ‘A Fine Balance’, atau ‘The Remains of the Day’.

Bapak mencabar saya menulis sebuah karya untuk menewaskan rekodnya yang menghasilkan Salina di usia sangat muda. Saya memberikan Bapak dua, ‘Perempuan Politikus Melayu’ dan ‘Cinta Hari-hari Rusuhan’. Saya sangsi Bapak membacanya. Sehingga beberapa bulan kemudian Johan Jaafar mengulas novel tersebut di akhbar Inggeris begitu memuji. Saranan yang kelihatannya datang daripada Bapak. Atau bagaimana Othman Puteh mengangkat karya lainnya, sebagai sebuah roman meruntun jiwa, yang akhirnya diakui oleh Othman, juga atas anjuran Bapak.

Pernah saya menanyakan Bapak, “Mengapa Bapak menulis yang itu sahaja — Perang Dunia Kedua, konfrontasi, dan kekacauan seorang lelaki dalam Hujan Pagi.” Bapak bersengaja membalas, “Kerana Bapak tidak masuk universiti seperti Faisal Tehrani. Kekayaan Bapak adalah pengalaman itu…”

Sekali Bapak ingin ke Melaka, untuk menziarahi ibu-bapa saya. Kata Bapak, dia ingin mengerti latar saya. Seolah-olah saya beroleh seluruh hadiah yang ada di dunia. Ibu saya mengukus ikan, abah mengambil cuti dua hari dan mencabut rumput di laman; dan saya melihat Bapak santai berbicara hal politik, ehwal sejagat dan macam-macam lagi. Dari stesen bas Melaka, Bapak enggan menaiki Bas Wira, sebaliknya kami berbeca. Di hujung ziarah itu Bapak mengatakan, “Oh ya, Bapak tahu Faisal akan tumbuh lagi.”

Pada tahun 1996, Bapak dilamar untuk menulis drama pentas. Saya melihat-lihat nestapa Bapak mengarang perihal Tengku Seindahkuno, yang akhirnya diberi jolokan ‘T Pinkie’. Saya ingin sekali mengekori Bapak ke Singapura menonton pementasan itu tetapi pasport saya sudah tidak bernyawa lagi, dan tiket ke Singapura suntuk dalam kepala. Tahu-tahu Bapak memadankan saya dengan Ladin Nuawi, “Nanti Faisal ke Singapura ya, belajar sesuatu, dan mengerti. Ladin akan memasti Faisal selamat serba-serbi.”

Begitu sahaja saya beroleh ilmu pentas dari Pak Samad.

Dalam tahun 1998 dan 1999, di tengah gelora reformasi, Pak Samad mengarang ‘Al Amin’. Puisi panjang berirama dan beramsal. Bapak dibayar bulan demi bulan, dan setiap kali hari wangnya tiba, saya akan mengikut Bapak ke ATM. Akan ada ringgit seratus dua, croissant dan beberapa buku lagi, kali ini Dante dan ada juga siri jilid Naquib Mahfodz. Dalam tempoh itu saya berguru dengan Bapak segala mengenai puisi.

Apabila ‘Ingin Jadi Nasrallah’ (2010) diterbitkan, Bapak menulis ransang sari. Bapak mencatat begini, “Yang selalu kedengaran ialah suara jernih di malam hening — jelas dan langsung. Saya kira, memang itulah kekuatan utama Faisal Tehrani sebagai penulis (kini penyair) walaupun dengan himpunan puisinya yang sejemput itu dia sempat hadir menegap di situ. Dengan suara sederhana, berani bersikap, subur berakar, malah garang; Faisal Tehrani mula hadir berkesan dalam dunia puisi mutakhir. Penyair tulen biasanya menghantar isyarat dan ibarat sebelum sesebuah negara mudarat.”

Saya dibaja, disiram; ada semaian yang tidak pernah putus.

Setelah saya ke Pulau Pinang berguru dengan Shahnon Ahmad, beliau mungkin cemburu sering mengajuk Bapak. Misalnya Cikgu mengatakan Bapak kurang berani, terlalu berlapik dan berkias dalam karya. Akan selalu ada sindir perli Cikgu. Sering saya rasa kurang senang. Namun kedua-duanya guru, jika mereka bersaing atau saling mencurigai, mengapa pula saya harus memasuki daerah mereka. Tentu, tatkala itu Shahnon namanya panas kerana menulis satira menghakimi kuasawan.

Bapak beroleh gelaran Datuk pada tahun 1997 oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka. Saya ternyata rimas dengan gelaran itu dan mempertikaikan, semacam merasa-rasa apa telahan Cikgu Shahnon itu semakin benar. Bapak menjelaskan kegusaran saya, “Akan tiba masanya gelar ini akan Bapak gunakan untuk merebut kembali apa yang telah diambil daripada kita.”

Lama kemudian, di Bangi, Cikgu Shahnon menggamit saya di Seksyen 3, dan membisikkan dituruti tawa, “Selepas Cikgu tiada, Samad kamu itu akan melakukan lebih dari apa yang telah Cikgu lakukan.”

Ternyata firasat Cikgu Shahnon benar. Bapak kelak akan memimpin bantahan terhadap PPSMI, serta gerakan Bersih 2.0. Lantas mendepani baton FRU, belantan ganas polis, semburan gas pemedih mata dan berdiri tegak di hadapan pelbagai demonstrasi (Bapak menamakannya tunjuk kasih, dan bukan tunjuk perasaan).

Sehingga hari ini, Bapak satu-satunya sasterawan yang meletakkan seni itu sebagai sebahagian dari kehidupan jelata. Hanya seorang sasterawan berani turun ke jalan raya. Namanya A Samad Said, hatta saya tidak akan berdaya melakukannya.

Ketika tahun-tahun pengajian saya di UKM, Bapak akan sering bertanya dan mendoakan agar saya mendirikan rumah tangga. Pada Oktober 2009, Bapak ke Melaka sekali lagi, kali ini ditemani Kak Rashidah. Mereka menaiki bas menghadiri kenduri perkahwinan saya di Dewan Hang Tuah. Terdapat sehampar sketsa, dianugerahkan buat saya. Ia lakaran sebatang pohon yang katanya, ‘akar terbenam ke bumi’.

Di antara tahun-tahun 2012-2017 saya mengalami depresi. Berat badan saya bertambah, tekanan membahana. Nama saya diburukkan oleh Zahid Hamidi, mufti Perlis dan pentadbiran Najib Razak. Karya saya dilarang, Dewan Bahasa dan Pustaka tiba-tiba memutuskan hubungan. Sebagai pengarang sepenuh masa, saya kehilangan mata pencarian.

Bapak sudah mahir menggunakan emel, dan Bapak menjawab begini dalam balasannya bertarikh 6 Jun 2012; “Bapak berdoa ia akan berakhir dengan baik. Betapa pun, jika buruk keadaannya, janganlah pula tergesa melawan. Teliti dan timbang dulu kesannya, termasuk kesannya terhadap kedudukanmu di varsiti. Walaupun, sebenarnya, sangat wajar dilawan.”

Saya memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 29 Jun 2015 untuk buku-buku saya yang diharamkan. Keputusan Mahkamah Tinggi pada Ogos 2016 ialah Hakim Hanipah Farikullah menolak permohonan tersebut dan memutuskan bahawa tindakan Kementerian Dalam Negeri adalah munasabah. Tiada seorang pengarang Malaysia pun bersama-sama dengan saya. Serasa seisi bumi mentertawa. Mereka malah menghindari saya.

Kecuali Pak Samad Said dan Kak Rashidah datang menaiki bas dan teksi untuk memberi sokongan.

Segala ombak kenangan itu menghempas pantai benak saya berulangan kali. Semakin stereng kereta saya bergegar tatkala memasuki petak parkir hospital. Di wad Mawar, Az dengan lesung pipit menyambut, dan aduh senyum serta kelembutan Kak Rashidah terpapar lagi, “Faisal masuklah, Faisal sapa Bapak… kalau Bapak buka mata dan bangun.”

Saya membelai rambut Bapak, saya ingin mengucup tangan Bapak seperti selalunya akan tetapi saya khuatir ada jarum terlekat, serta topeng oksigen Bapak akan terlorot. Saya meronta-ronta ingin meneriak nama Bapak. Saya ingin memberitahunya bahawa seluruh dunia saya sebetulnya pernah terbangun oleh sosok kecil ini.

Seisi alam remaja saya begitu bergantung kepadanya. Saya terngiang-ngiang kembali tawa Bapak, dan cungap kami menyusuri laluan dari Masjid Negara, merentasi Daya Bumi ke Pasar Seni. Saya tahu detik masanya seakan tiba. Saya tidak memahami mengapa Kak Rashidah semacam tenang dan aman-aman sahaja. Saya merintih di celah bacaan Yasin, saya terngiang kembali kasih Bapak. Betapa banyak dikau memberi. Betapa banyak.

Di kuburan, tatkala mereka mengambus tanah di pusara mu, saya berasa ingin menerkam dan menjeritkan, jangan ayohai tolong jangan dulu. Nusa bangsa ini masih memerlukan keberanian mu. Kita barangkali akan turun lagi ke jalanan. Saya masih ingin melaungkan, ternyata banyak belum kita laksanakan kerana kuasawan dan korupsi masih bermaharajalela.

Tetapi saya menyaksikan semua yang hadir membiarkan kepal tanah keras itu menelangkup. Talkin dibaca. Mereka kemudian menyirami air di atas kuburan itu. Perlahan-lahan saya melihat pusara Bapak sempurna. Bapak bersemadi, dan saya tidak percaya.

Serasa sunyi dan sendiri. Ada sekawanan merpati tiba-tiba melayah rendah, hingar-bingar teman dan saudara. Beberapa pembesar dan orang terkenal bertingkah seperti biasa.

Pun ombak kenangan menerpa, dan Ya Allah, kaca mata saya memburam dan saya mendengar suara Bapak, sayup-sayup di hujung gagang telefon. Lirih tetapi padat, tergagap tetapi teguh; ketawa Bapak. Langit saya lihat makin keruh, membawa gerimis.

Kembali di gegendang telinga saya, denting siling 50 sen yang segenggam itu jatuh ke dalam tampungan telefon awam, sekeping demi sekeping.

Sehingga ke siling terakhir.

Suara Bapak terputus tiba-tiba.

Artikel ini ialah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.

View the original on Free Malaysia Today →

KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.