Ahli Parlimen gesa KWSP dedah nilai semasa pegangan saham dalam Nvidia


Seorang Ahli Parlimen pembangkang menggesa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mendedahkan nilai semasa pegangan sahamnya dalam Nvidia serta sama ada dana persaraan itu mengalami kerugian susulan kontroversi yang mengaitkan bekas CEO syarikat teknologi itu, Jensen Huang.
Susulan laporan bahawa KWSP memiliki saham Nvidia bernilai kira-kira RM5.6 bilion setakat 30 Jun lalu, Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan, berkata pencarum perlu mengetahui risiko yang dihadapi memandangkan ketidaktentuan pasaran yang perlu ditangani pengeluar cip itu.
“Walaupun pegangan KWSP dalam Nvidia agak kecil berbanding jumlah asetnya bernilai RM1.54 trilion, pencarum berhak mengetahui sama ada situasi semasa memberi kesan kepada simpanan mereka dan lebih penting lagi, bagaimana risiko ini diuruskan.
“Saya mahu KWSP menjelaskan nilai semasa pegangan sahamnya dalam Nvidia, harga asal saham itu diperoleh serta sama ada dana itu mengalami kerugian setakat ini.
“KWSP juga perlu menjelaskan bagaimana risiko turun naik saham teknologi dan perkembangan geopolitik diambil kira dalam keputusan pelaburannya,” katanya dalam satu kenyataan.
Naib Presiden Wawasan itu berkata beliau tidak mahu pencarum panik kerana dividen tahunan KWSP ditentukan berdasarkan prestasi keseluruhan pelaburannya dan bukan hanya satu syarikat.
Bagaimanapun, Wan Saiful berkata KWSP tidak boleh berdiam diri berhubung situasi Nvidia, sambil menegaskan bahawa simpanan persaraan rakyat Malaysia mesti dilindungi menerusi pengurusan yang telus, berhemah dan bertanggungjawab.
Terdahulu, CNBC melaporkan saham Nvidia susut lagi 2.01% pada Jumaat, sekali gus menyebabkan nilai pasarannya ditutup di bawah USD4 trilion buat kali pertama sejak Julai 2025, ketika pelabur menilai kesan susulan peletakan jawatan Huang berikutan dakwaan hubungan sulit, termasuk satu dakwaan yang membabitkan seorang perisik China.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.