Pengampunan Najib: Umno seru semua bertenang

Umno menyeru semua pihak supaya bertenang dan tidak mengambil sebarang tindakan boleh menjejaskan proses permohonan pengampunan bekas perdana menteri, Najib Razak.
Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata seruan itu dibuat susulan keputusan menangguhkan permohonan pengampunan Najib ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan datang.
“Umno turut memahami keresahan dan kekecewaan ahli-ahli parti serta rakyat yang telah lama menantikan perkembangan berhubung perkara ini.
“Namun, Umno menyeru semua pihak supaya terus bertenang, menghormati institusi Raja-Raja Melayu dan tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh menjejaskan proses yang sedang berjalan,” katanya dalam kenyataan.
Asyraf berkata Umno menjunjung kasih dan menghormati sepenuhnya institusi Yang di-Pertuan Agong serta segala proses yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan berkaitan kuasa pengampunan.
Beliau berkata Umno mengambil maklum permohonan pengampunan Najib ditangguhkan ke mesyuarat Lembaga Pengampunan akan datang, seperti dinyatakan dalam kenyataan rasmi kerajaan.
“Umno berharap permohonan tersebut dapat dipertimbangkan pada mesyuarat akan datang tanpa kelewatan yang tidak perlu, selaras dengan proses undang-undang dan Perlembagaan,” katanya.
Menurut Asyraf, perjuangan mendapatkan keadilan untuk Najib bukan bertujuan mencabar institusi atau proses undang-undang, sebaliknya dilakukan melalui saluran yang sah di sisi Perlembagaan dan undang-undang.
“Umno tidak akan berhenti memperjuangkan keadilan. Kita akan terus berusaha melalui saluran Perlembagaan, undang-undang dan institusi yang sah sehingga segala proses berkaitan Najib diberikan pertimbangan sewajarnya,” katanya.
Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang diadakan hari ini memutuskan untuk menangguhkan permohonan pengampunan Najib.
Dalam kenyataan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, dimaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan permohonan tersebut ditangguhkan ke mesyuarat akan datang.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.