2 pekerja pembersihan maut disedut pusaran air

Dua lelaki maut disedut pusaran air ketika melakukan kerja pembersihan saluran tersumbat dalam kolam takungan air hujan sebuah premis perkhidmatan kebersihan di Bukit Tagar, Hulu Selangor.
Dalam kejadian kira-kira 11 pagi Rabu lalu, dua warga tempatan berusia 27 dan 30 tahun dipercayai terperangkap dalam lubang overflow chamber sebelum lemas.
Menurut Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor, siasatan awal mendapati dua pekerja pembersihan itu sedang melakukan kerja penyelenggaraan dan membersihkan sisa sampah menyumbat bahagian overflow chamber kolam berkenaan.
Jelasnya, sebaik laluan air dibuka, dua pekerja itu disedut pusaran air kuat yang menyebabkan mereka terperangkap dalam lubang terbabit akibat tekanan arus.
“Seorang lagi pekerja yang berada di lokasi kejadian berjaya diselamatkan tanpa mengalami kecederaan,” katanya menurut Berita Harian.
JKKP Selangor mengeluarkan notis larangan bagi aktiviti pembersihan overflow chamber tersumbat serta notis pembaikan akibat kegagalan majikan menjalankan penaksiran risiko kerja itu.
Ia turut menjalankan siasatan lanjut dengan memanggil majikan dan saksi kejadian untuk memberi keterangan.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.