PAC bertemu 5 Ahli Parlimen Sabah berkait siasatan Lebuhraya Pan Borneo

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen bertemu lima Ahli Parlimen semalam berhubung projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan menjemput PAC Sabah untuk turut serta dalam prosiding siasatan.
Pengerusi PAC, Mas Ermieyati Samsudin berkata jawatankuasa itu bertemu Yusof Apdal (Warisan-Lahad Datu), Ronald Kiandee (PN-Beluran), Wilfred Madius Tangau (GRS-Tuaran), Siti Aminah Aching (BN-Beaufort) dan Isnaraissah Munirah Majlis (Warisan-Kota Belud).
Beliau menambah, Ahli Parlimen berkenaan dijemput ke mesyuarat itu kerana pakej Lebuhraya Pan Borneo yang mengalami kelewatan paling kritikal terletak di kawasan Parlimen mereka.
“PAC menerima maklum balas yang amat baik dan terperinci daripada kelima-lima Ahli Parlimen Sabah berkenaan situasi sebenar yang sedang berlaku di lapangan.
“Ini memberikan pemahaman yang lebih jelas mengenai punca masalah yang membantu PAC membuat siasatan yang lebih tepat sebelum saksi-saksi rasmi dipanggil,” katanya dalam satu kenyataan.
Mas Ermieyati berkata PAC akan memanggil pihak yang terlibat dalam pengurusan dan pelaksanaan projek ini untuk memberi keterangan, termasuk pegawai dan pihak yang pernah berkhidmat sejak projek ini mula dirancang.
Prosiding akan bermula pada 25 Nov, dimulakan dengan saksi utama daripada Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya Sabah.
“Buat julung kalinya, PAC juga menjemput PAC Sabah untuk bersama menyertai prosiding
prosiding sepanjang siasatan berkenaan isu ini,” katanya.
Ahli Parlimen Masjid Tanah itu turut berkata wakil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merupakan anggota PAC secara ex-officio dan menghadiri prosiding jawatankuasa itu.
Sehubungan itu, beliau memohon kerjasama SPRM untuk meneliti fakta dan keterangan bersama-sama dengan prosiding PAC.
“PAC akan terus merujuk sebarang penemuan salah laku kepada tindakan penguatkuasaan undang-undang,” katanya.
Laporan Ketua Audit Negara 2026 mendedahkan bahawa hanya empat daripada 35 pakej Lebuhraya Pan Borneo Sabah di bawah Fasa 1, atau 11.4%, siap sepenuhnya setakat 31 Mac, manakala baki 31 pakej masih dalam pelaksanaan.
Projek itu pada asalnya dijadualkan siap menjelang akhir 2021.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.