Zahid enggan lanjut kerjasama BN-PN untuk kekal berpengaruh dalam rundingan

Keengganan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Zahid Hamidi melanjutkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) mungkin menjadi satu bentuk pengaruh dalam rundingan pembahagian kerusi di empat negeri ditadbir pembangkang iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, kata penganalisis.

Syaza Shukri daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, Zahid sedang menetapkan pendirian tegas kerana bimbang PN, sebagai gabungan Melayu yang lebih besar, boleh menceroboh pangkalan sokongan BN.
“Saya berpendapat ini merupakan langkah berjaga-jaga sekiranya rundingan dengan PN tidak membuahkan hasil. Zahid perlu memastikan BN dan PN kekal sebagai dua entiti yang berbeza,” katanya kepada FMT.
Pada 15 Nov, sehari selepas BN dan PN memenangi PRN Melaka, Zahid berkata pihaknya belum pernah merancang untuk melanjutkan kerjasama antara kedua-dua gabungan itu ke PRU16 dan perbincangan mengenai perkara itu akan diadakan pada masa yang sesuai.
Pendiriannya berbeza dengan Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, yang menggesa kedua-dua gabungan memulakan rundingan dengan segera, khususnya berhubung pembahagian kerusi dan strategi menghadapi PRU16.
Pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar, pada 19 Nov berkata kedua-dua gabungan perlu bersedia untuk berkompromi demi kerjasama politik.
Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri daripada Global Asia Consulting berkata, terdapat perbezaan antara memenangi PRN dengan memenangi PRU16 dan Umno tidak mampu kehilangan kekuatan politiknya yang boleh menjadi faktor penentu sama ada parti itu menerajui kerajaan.
“Ketakutan terbesar Zahid mungkin bukan kalah PRU16 kepada PN, sebaliknya menang PRU16 bersama PN tetapi kemudian mendapati Umno telah kehilangan dominasi politiknya,” katanya.
BN atau PN akan kuasai Putrajaya?
Zaharuddin berkata, PN mungkin berdepan masalah sama seperti BN jika memenangi PRU16, iaitu menentukan pihak yang akan mengambil alih tampuk pemerintahan di Putrajaya.
Beliau memberi amaran, Samsuri tidak sepatutnya berkeras secara terbuka untuk bekerjasama dengan BN kerana tindakan itu akan menguntungkan Zahid.
“Dalam politik, kelihatan terdesak boleh membawa kesan lebih buruk daripada keadaan benar-benar terdesak,” katanya.

Zaharuddin berkata, walaupun Samsuri mungkin bimbang dengan keengganan Zahid untuk bekerjasama, kebimbangannya bukan berpunca daripada ketakutan bahawa PN tidak akan menunjukkan prestasi baik dalam PRU16 tanpa BN.
“Samsuri tidak takut menghadapi PRU16 tanpa BN. Beliau takut memenangi kerusi yang cukup untuk diraikan, tetapi tidak cukup untuk membentuk kerajaan.
“Beliau perlu meyakinkan rakyat Malaysia bahawa PN mampu mentadbir sebuah negara berbilang kaum dan bukannya sekadar menguasai kubu politik Melayu,” katanya.
Syaza berkata, pada akhirnya, tiada sebab sebenar untuk bimbang dengan keengganan Umno kerana BN perlu memulakan rundingan dengan PN jika mahu mempunyai peluang bersaing dalam PRU16.
“Walau apa cara sekalipun, mereka perlu mencari jalan untuk mencapai persetujuan dalam rundingan dan bekerjasama. Jika mereka tidak berunding dan sebaliknya kembali kepada pertandingan tiga penjuru, BN akan menjadi pihak yang paling rugi, seperti pada 2022, manakala PN akan terus menjadi gabungan Melayu terbesar,” katanya.
Pada PRU15, BN menang 30 kerusi, merosot daripada 79 pada 2018, manakala PN memperoleh 74 pada 2022, iaitu lapan kerusi kurang berbanding Pakatan Harapan yang mendahului saingan. PRU16 mesti diadakan selewat-lewatnya Februari 2028, melainkan Parlimen dibubarkan lebih awal.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.