Cek RM2.9 juta sebelum kematian ahli perniagaan jadi tumpuan pertikaian pusaka

Mahkamah Tinggi melantik dua pentadbir bebas bagi menyiasat dan mengurus harta pusaka seorang ahli perniagaan susulan pertikaian keluarga membabitkan wang tunai jutaan ringgit, 10 jongkong emas serta cek RM2.9 juta yang dikeluarkan beberapa jam sebelum kematiannya.
Pesuruhjaya Kehakiman Donald Joseph Franklin membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan dua anak perempuan mendiang, Thong Mee Lian dan Thong Mee Ying, yang terbabit dalam pertikaian undang-undang dengan saudara lelaki mereka, Andrew Thong.
Pertikaian itu membabitkan harta pusaka Thong Young Fah yang meninggal dunia tanpa meninggalkan wasiat pada 31 Dis 2021. Mendiang meninggalkan enam anak.
Dalam alasan penghakimannya, Franklin berkata waris mendiang gagal mencapai persetujuan mengenai siapa yang patut mentadbir harta pusaka itu sejak 2022, sehingga membawa kepada beberapa tindakan undang-undang.
Mahkamah diberitahu, mereka turut bertelagah mengenai aset dan liabiliti harta pusaka berkenaan, termasuk 50% pegangan saham dalam Kedai Emas Young Fah, 20% saham dalam Pajak Gadai Leong Hwa Sdn Bhd, 10 jongkong emas, wang tunai dan dua peti simpanan keselamatan.
Nilai aset yang dipertikaikan itu melebihi RM9 juta, namun waris terbabit juga tidak sependapat mengenai jumlah liabiliti harta pusaka berkenaan.
Bagaimanapun, perkara yang paling menimbulkan persoalan ialah pengeluaran cek RM2.9 juta oleh Leong Hwa kepada Pajak Gadai Liung Soon Sdn Bhd pada 11.09 malam, 30 Dis 2021, hanya beberapa jam sebelum Young Fah meninggal dunia di hospital.
Cek itu ditandatangani oleh mendiang dan Andrew.
Liung Soon pula merupakan sebuah syarikat yang anak lelaki Andrew menjadi pengarah tunggalnya, manakala Andrew adalah satu-satunya pemegang saham syarikat itu yang masih hidup.
Leong Hwa kemudiannya dibubarkan, sebelum dihidupkan semula menerusi satu perintah mahkamah berasingan yang turut mendapati transaksi RM2.9 juta itu perlu disiasat.
Franklin berkata, transaksi berkenaan menjadi alasan paling kukuh untuk melantik pentadbir bebas, mengambil kira masa cek itu dikeluarkan serta hubungan antara syarikat penerima dengan Andrew.
Beliau menolak hujah Andrew bahawa pembayaran tersebut hanyalah urus niaga perniagaan biasa, sambil menegaskan keadaan yang menyelubungi transaksi itu tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang tidak menimbulkan persoalan.
Mahkamah kemudian melantik pengamal insolvensi berlesen Macpherson Anak Simon dan akauntan Adam Primus Varghese Abdullah sebagai pentadbir bersama harta pusaka berkenaan.
Franklin berkata kepakaran profesional kedua-duanya sesuai untuk mengendalikan harta pusaka yang rumit itu, khususnya kerana ia turut membabitkan pegangan saham yang besar dalam perniagaan pajak gadai.
Beliau turut menolak permintaan Andrew untuk mencalonkan seorang daripada pentadbir berkenaan.
Menurutnya, membenarkan Andrew memilih individu yang akan bertanggungjawab meneliti perkara berkaitan pertikaian itu boleh menjejaskan kebebasan proses berkenaan.
Bayaran perkhidmatan kedua-dua pentadbir serta kos permohonan mahkamah akan ditanggung menggunakan harta pusaka tersebut.
Pelantikan mereka akan kekal berkuat kuasa sehingga kes itu diputuskan atau mahkamah mengeluarkan perintah selanjutnya.
Peguam Choo Mun Wei mewakili Mee Lian dan Mee Ying, manakala Andrew diwakili Bailey Leong.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.