Bersatu perlu ke mahkamah jika wakil rakyat keluar parti enggan penuhi tuntutan

Tuntutan RM10 juta terhadap wakil rakyat Bersatu yang meninggalkan parti tidak boleh dianggap sebagai hukuman automatik, sebaliknya perlu diuji di mahkamah berdasarkan dokumen dan perjanjian yang ditandatangani, kata penganalisis politik.
Mazlan Ali daripada Universiti Teknologi Malaysia berkata Bersatu perlu membawa tuntutan ke mahkamah jika wakil rakyat berkenaan enggan memenuhi tuntutan parti, termasuk mengosongkan kerusi.
Katanya, mahkamah perlu menentukan sama ada dokumen, ikrar atau peruntukan perlembagaan parti yang digunakan Bersatu mempunyai kesan undang-undang terhadap wakil rakyat terbabit.

“Jika tidak dibawa ke mahkamah, pasti wakil rakyat terlibat tidak akan akur atas perkara tersebut,” katanya kepada FMT.
Mazlan mengulas amaran Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, kepada wakil rakyat meninggalkan parti supaya mengosongkan kerusi dan membayar RM10 juta kepada parti.
Beliau mengingatkan mereka terhadap baiah dan sumpah yang dilafazkan mereka ketika dipilih sebagai calon pilihan raya.
Peringatan itu selepas pimpinan Bersatu Terengganu, Razali Idris, memberi bayangan akan menyertai parti baharu susulan hantaran menyentuh mengenai ‘wadah baharu’ di media sosial.
“Jika Ahli Parlimen berkenaan berdegil dan tidak mahu patuhi tuntutan Bersatu, parti itu tiada pilihan melainkan bawa kes itu ke mahkamah,” kata Mazlan.
Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri daripada Global Asia Consulting berkata kes Zuraida Kamaruddin menunjukkan mahkamah boleh mengiktiraf bon politik, tetapi pada masa sama menilai kewajaran jumlah yang ditetapkan.
Mahkamah Tinggi pada 2023 mendapati bon RM10 juta antara Zuraida dan PKR sah dan mengikat, namun Mahkamah Rayuan kemudian mengurangkan jumlah bayaran kepada RM100,000 kerana RM10 juta dianggap tidak berkadar dengan keadaan kes.

“Mahkamah akan melihat sifat perjanjian, kewajipan yang dipersetujui, keadaan pelanggaran dan prinsip pampasan yang terpakai,” katanya.
“Kes Zuraida sendiri menunjukkan bahawa jumlah yang ditulis dalam sesuatu dokumen tidak semestinya jumlah yang akhirnya diberikan oleh mahkamah.”
Tambahnya, baiah dan ancaman kewangan mungkin memberi tekanan politik, tetapi tidak semestinya menghalang wakil rakyat daripada meninggalkan parti.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.