30 maut lori tangki terbalik, terbakar di Mesir

Sekurang-kurangnya 30 maut selepas sebuah lori tangki terbalik dan tebakar di lebuh raya sibuk di Kaherah pada Rabu.
Rakaman AFP menunjukkan bola api besar serta kepulan asap hitam tebal menjulang tinggi di kawasan kejiranan Al-Waraq, Kaherah yang padat dengan penduduk itu, sementara pemandu membunyikan hon dan bertempiaran melarikan diri.
Bangunan di sekitar terselamat daripada kebakaran itu.
Media kerajaan melaporkan sebuah lori membawa muatan bahan api terbalik di jalan lingkaran Kaherah – lebuh raya sibuk yang menghubungkan pelbagai bahagian ibu kota itu – lalu terbakar dan menyebabkan kenderaan berhampiran turut dijilat api.
Kementerian Kesihatan memaklumkan 39 ambulans dikerahkan ke lokasi nahas, dengan 15 mangsa cedera dibawa ke hospital.
“Keadaan di lokasi sangat mengerikan,” kata Abdel Rahman Khalil kepada AFP, sambil menambah beliau tiba sejurus nahas berlaku dan melihat lori tangki terbalik itu sedang terbakar.
Pendakwa raya Mesir berkata siasatan telah dimulakan dan ujian DNA sedang dijalankan bagi mengenal pasti mangsa rentung.
Orang ramai dan pasukan perkhidmatan kecemasan berkumpul di lokasi nahas, sementara sebuah jentolak mengalihkan bangkai kereta hangus.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.