Pendakwa P Pinang tolak representasi Akmal

Representasi dikemukakan Ketua Pemuda Umno Akmal Salleh bagi menggugurkan pertuduhan dalam kes mendatangkan kegusaran awam pada Disember 2025 ditolak pengarah pendakwaan negeri Pulau Pinang.
Pada 22 Ogos 2025, Akmal didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam atas pertuduhan itu dalam satu video Facebook dimuat naik pada 11 Ogos tahun sama. Beliau mengaku tidak bersalah.
Pertuduhan bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Video tersebut berkaitan kontroversi mengenai seorang pemilik kedai perkakasan yang kelihatan memegang Jalur Gemilang secara terbalik dalam satu video tular.
Ketua barisan peguamnya, Aizat Azam, pihaknya telah memohon kepada Mahkamah Majistret Bukit Mertajam untuk mengemukakan representasi kedua kepada peguam negara bagi menyampaikan fakta, pandangan serta pendapat dari sudut undang-undang berhubung kes berkenaan.
Katanya, permohonan representasi pertama itu dikemukakan kira-kira 10 bulan lalu dan keputusan penolakan dimaklumkan pada prosiding sebutan kes, hari ini.
“Kita telah membuat satu permohonan kepada mahkamah untuk mengemukakan representasi kedua kepada peguam negara bagi menyampaikan fakta, pandangan, dan pendapat berdasarkan undang-undang tentang kes ini.
“Insyaallah, selepas ini kita akan mengemukakan representasi tersebut kepada pihak peguam negara,” katanya menurut Sinar Harian.
Beliau berkata, kes itu telah berlangsung lebih setahun, namun sehingga kini tarikh perbicaraan masih belum ditetapkan kerana pihak pembelaan masih dalam proses mendapatkan keputusan berhubung permohonan representasi.
Terdahulu, mahkamah menetapkan 4 Jan depan untuk keputusan representasi kedua dikemukakan pihak pembelaan.
Kes diketuai Pengarah Pendakwaan Negeri Pulau Pinang, Muna Mohamed Jaafar di hadapan Majistret Roshayati Radellah.
Muhamad Akmal diwakili 10 peguam termasuk Aizat, Syahrul Syazwan Salehin, Hafiz Norkhan, Datuk Mohd Imran Tamrin, Syafiq Bahtiar, Zaki Shah, Fazreen Izuan, dan Shakeel Saifuzzaman.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.