Pemandu mengaku tak salah sebabkan kematian kanak-kanak dalam nahas Jalan Kuching

Seorang penolong pengurus jualan sebuah bank mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan menyebabkan kematian kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Jalan Kuching, Sabtu lalu.
Raeven Goh, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aliaa Anwar.
Dia didakwa menyebabkan kematian Asiah Ahmad Syahir akibat memandu kenderaan elektrik secara melulu di Jalan Kuching menghala ke Segambut, pada 10 Okt lalu.
Pertuduhan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda hingga RM20,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu sekurang-kurangnya tiga tahun, jika sabit kesalahan.
Goh turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu secara melulu dan berbahaya mengikut Seksyen 42(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun, denda RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu sekurang-kurangnya dua tahun.
Bagi pertuduhan ketiga, dia mengaku tidak bersalah atas kesalahan gagal memberhentikan kenderaannya selepas kemalangan itu, mengikut Seksyen 52(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda maksimum RM2,000 atau dipenjara sehingga enam bulan.
Mahkamah membenarkan Goh diikat jamin RM36,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.
Aliaa turut memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan menggantung lesen memandunya sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 19 Nov depan untuk pengurusan kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fadhly Zamry dan Wafi Husain, manakala Goh diwakili peguam Kailash Sharma.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.