Serangan siber dedah data pelanggan Decathlon

Peruncit barangan sukan dari Perancis, Decathlon mengesahkan serangan siber di negara itu mendedahkan data peribadi pelanggan, termasuk lebih 130,000 alamat e-mel dan nombor telefon, lapor Anadolu Ajansi.
Syarikat itu memberitahu France 3 Hauts-de-France pada Isnin bahawa “akses berniat jahat terhadap data peribadi, termasuk identiti, nombor telefon dan alamat, berlaku di Perancis pada 22 Nov 2026”.
Menurutnya, kebocoran data berlaku melalui satu daripada penyedia perkhidmatan luarannya, bukannya pangkalan data utama akaun pelanggan syarikat.
“Pasukan kami segera mengambil tindakan untuk menyekat akses yang diceroboh dan tiada data perbankan atau kata laluan terjejas,” katanya.
Seorang penggodam yang menggunakan nama samaran 4me1 mendakwa mencuri pangkalan data dikaitkan dengan Decathlon dan menawarkan empat fail untuk dijual pada awal pagi 23 Nov, menurut laporan itu.
Fail itu dilaporkan mengandungi 163,646 rekod, termasuk 137,549 alamat e-mel berbeza serta jumlah nombor telefon hampir sama, menurut laman sesawang keselamatan siber cyberattaque.org.
Maklumat terjejas termasuk nama pertama, nama keluarga dan alamat penghantaran pelanggan. Lebih 4,100 rekod turut mengandungi arahan penghantaran, yang sebahagiannya dilaporkan merangkumi maklumat akses bangunan, butiran interkom dan panduan lain untuk memudahkan penghantar membuat penghantaran.
Satu lagi fail dilapor menyenaraikan lebih 250,000 pesanan, termasuk lebih 600 penghantaran yang dijadualkan antara 23 hingga 28 Nov.
Menurut Decathlon, kebocoran itu menjejaskan sebahagian pelanggan membuat pesanan menerusi laman web Perancisnya dan mereka yang terlibat akan dihubungi melalui e-mel.
France 3 memberi amaran penipu boleh mengeksploitasi maklumat peribadi dan penghantaran yang terdedah dengan menyamar sebagai penghantar barangan Decathlon.
Insiden itu berlaku selepas kebocoran data disahkan Oktober lalu melibatkan Train Me, anak syarikat Decathlon yang menyediakan perkhidmatan bimbingan sukan. Kedua-dua insiden dilaporkan tiada kaitan satu sama lain.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.