Bersatu boleh hilang ruang Melayu jika gagal cari rakan, kata penganalisis

Bersatu berisiko kehilangan ruang dalam kalangan pengundi Melayu jika gagal mencari rakan baharu untuk menghadapi PRU16, terutama ketika Umno dan PAS dilihat semakin membuka ruang kerjasama di beberapa negeri, kata penganalisis.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Syaza Shukri, berkata Bersatu sememangnya sukar menandingi kekuatan Umno dan PAS dalam mendapatkan sokongan pengundi Melayu jika bergerak sendirian.
Katanya, kerjasama dengan parti lain sekurang-kurangnya dapat mengurangkan pertandingan banyak penjuru dan membantu Bersatu, khususnya di kawasan campuran.
“Bagi saya, Bersatu sudah cukup kecil dan semakin tertumpu di belakang Muhyiddin Yassin. Jadi, saya tidak nampak Bersatu akan berpecah lagi.
“Saya rasa tidak sukar untuk apa-apa keputusan yang dicapai mendapat persetujuan dalam Bersatu,” katanya kepada FMT.
Pada 19 Sept lalu, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin bersetuju dengan pandangan bahawa partinya tidak boleh bergerak secara solo pada PRU16, namun pemilihan rakan kerjasama perlu berlandaskan prinsip perjuangan.
Beliau berkata, pandangan supaya Bersatu mencari rakan kerjasama baharu semakin banyak dizahirkan susulan krisis dalam Perikatan Nasional (PN) yang menyaksikan parti itu putus hubungan dengan PAS.
Muhyiddin berkata, Bersatu akan membuat keputusan demi kelangsungan parti, namun memberi jaminan kepada ahli bahawa sebarang kerjasama mesti berlandaskan prinsip perjuangan.
Mengulas lanjut, Syaza berkata persoalan utama ialah sejauh mana kerjasama baharu itu dapat bertahan jika Bersatu dan Muhyiddin masih mempunyai cita-cita politik yang besar.

Sementara itu, Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata kerjasama Umno-PAS boleh menjadi cabaran kepada parti Melayu lain kerana ia berpotensi menyatukan sokongan pengundi kaum tersebut.
Katanya, keputusan PRN Johor dan Negeri Sembilan menunjukkan kesan pertandingan banyak penjuru terhadap Bersatu apabila sebahagian undi Melayu berpecah kepada parti lain, menyebabkan parti itu sukar memperoleh sokongan mencukupi.
Menurutnya, Bersatu berpotensi mendapat kelebihan jika berjaya membentuk kerjasama dengan parti lain, bergantung kepada kekuatan rakan yang dipilih serta pembahagian kerusi.
“Jika Bersatu bergabung dengan Pakatan Harapan, PH dan Bersatu akan dapat undi Melayu dan bukan Melayu, di samping undi solid daripada Bersatu sendiri.
“Jadi, secara tidak langsung Bersatu akan dapat kelebihan, dengan syarat dapat mewujudkan kerjasama dan pembahagian kerusi yang sesuai dengan kedudukan Bersatu,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.