DAP terima realiti kerjasama dengan Umno demi kestabilan, kata Loke

DAP menerima realiti politik parti itu perlu terus bekerjasama dengan Umno dalam kerajaan perpaduan demi memastikan kestabilan pentadbiran negara dan membolehkan agenda reformasi diteruskan.
Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata pendirian itu turut mendapat sokongan perwakilan parti yang mengundi supaya DAP kekal dalam kerajaan sehingga tamat tempoh pentadbiran.
“Perwakilan telah mengundi untuk kita kekal dalam kerajaan. Ini adalah hasrat mereka dengan memahami sepenuhnya bahawa kita perlu bekerjasama dengan Umno.
“Ini satu realiti politik yang difahami semua perwakilan,” katanya pada sidang media selepas kongres khas parti itu.
Menurut Loke, Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga mahu kerajaan kekal stabil supaya agenda yang dirancang dapat dilaksanakan, walaupun terdapat perbezaan pendirian antara parti dalam kerajaan.
Beliau mengulas pendirian Anwar untuk meneruskan kerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam kerajaan Perpaduan atas kepentingan kestabilan serta kemakmuran rakyat.
Loke turut menepis dakwaan DAP menggunakan kongres itu untuk memberi tekanan kepada Anwar bagi melaksanakan apa yang didakwa sebagai “agenda DAP”.
Katanya, pembaharuan seperti pemisahan peranan peguam negara dan pendakwa raya, mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal serta menangani kos sara hidup bukan tuntutan DAP semata-mata.
“Ia bukannya agenda DAP semata-mata tetapi agenda bersama atau janji-janji yang telah dipersetujui melalui manifesto semasa pilihan raya lalu,” katanya.
Kongres khas itu menyaksikan perwakilan DAP meluluskan usul supaya parti itu kekal dalam kerajaan Perpaduan sehingga tamat tempoh pentadbiran.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.