Rashidi tersepit dalam ketegangan Umno-PH, kata penganalisis

Kedudukan Rashidi Zinol sebagai satu-satunya exco Barisan Nasional (BN) dalam kerajaan Pulau Pinang dilihat tersepit dalam ketegangan antara Umno dan Pakatan Harapan (PH), walaupun kerjasama dalam pentadbiran negeri dikatakan berjalan baik.
Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata masalah sebenar terletak pada krisis kepercayaan yang masih wujud antara kedua-dua pihak.
Menurutnya, keadaan itu berbeza dengan kerjasama di peringkat pentadbiran, yang boleh berjalan tanpa bermaksud hubungan politik antara parti sudah benar-benar stabil.
“Walaupun mentadbir bersama dengan baik tetapi mereka masih belum sampai ke tahap di mana kepercayaan antara kedua-dua pihak itu benar-benar kukuh,” katanya kepada FMT.
Rashidi sebelum ini menggesa kerjasama BN-PH di Pulau Pinang diteruskan, dengan berkata beliau tidak menghadapi masalah bekerjasama dengan pemimpin PKR dan DAP sepanjang tiga tahun menjadi exco.
Pengerusi jawatankuasa pembangunan luar bandar, agroteknologi, keterjaminan makanan dan keusahawanan Pulau Pinang itu menyifatkan hubungan berkenaan sebagai membina dan memberi manfaat kepada negeri.
Adun Sungai Acheh itu juga berharap kerjasama berkenaan dapat dikekalkan sehingga akhir penggal pada 12 Ogos 2028, namun berkata beliau bersedia menerima apa juga keputusan parti dan PH mengenai kedudukannya.
Bagaimanapun, Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang Hilmi Elias kemudian menjelaskan gesaan Rashidi itu hanya pandangan peribadi dan bukan pendirian rasmi Umno negeri, yang belum membuat keputusan mengenai hala tuju kerjasama politiknya.
Hubungan kedua-dua parti di Pulau Pinang menjadi tegang selepas beberapa kenyataan pemimpin Umno terhadap PH dan DAP, termasuk ketika Perhimpunan Agung Umno, awal bulan ini.
Sebelum ini, Penasihat DAP Lim Guan Eng menggesa Umno disingkirkan daripada kerajaan Pulau Pinang selepas BN menjalinkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan.
Timbalan Pengerusi PH Pulau Pinang Faiz Fadzil berkata kedudukan Umno dalam kerajaan negeri perlu dibincangkan kerana keadaan hubungan mereka sudah berubah.
Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting pula berkata keadaan itu menggambarkan satu ‘paradoks politik’ yang sedang dihadapi Umno.
“Di pentas parti, PH sering ditembak. Tetapi di kerusi kerajaan, kerjasama dengan PH masih mahu dipertahankan.
“Inilah wajah Umno hari ini, bukan tidak tahu ke mana mahu pergi, tetapi belum cukup yakin untuk melangkah keluar,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.