Hasmah diberi istiadat pengebumian pembesar negara, kata PM

Allahyarham Dr Hasmah Ali akan diberikan istiadat pengebumian pembesar negara, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara dan Panglima Angkatan Tentera membantu pengurusan pengebumian berkenaan.
Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) sekitar 9.25 pagi tadi. Beliau berusia 100 tahun.
Mengikut aturcara dikongsi kepada media, jenazah Hasmah akan dibawa ke Masjid As-Syarif, Taman Sungai Besi Indah untuk disempurnakan sebelum diberikan penghormatan terakhir.
Jenazahnya dijangka dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya selepas Asar.
Dalam kenyataannya itu, Anwar bagi pihak kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia turut menzahirkan rasa dukacita serta mengucapkan takziah atas pemergian Allahyarham.
Katanya, negara akan terus mengenang sifat keibuan Siti Hasmah serta menghargai jasa Allahyarham.
“Ingatan dan doa saya bersama Dr Mahathir Mohamad serta seluruh keluarga dalam menghadapi kehilangan ini.
“Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa Almarhumah, menerima segala amal baktinya dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman,” katanya.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.