Lambang PAS bukan isu besar, pemimpin DHPP tepis penganalisis

Seorang pemimpin bukan Islam dalam PAS menepis pandangan penganalisis bahawa lambang parti itu akan menyukarkan Perikatan Nasional (PN) menarik sokongan pengundi bukan Melayu pada PRN kelak.
Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Melaka, Tony Khoo, mendakwa masyarakat bukan Islam menyambut baik program bersama pemimpin PAS anjuran pihaknya.

“Di Melaka, DHPP sering mendekati orang bukan Melayu. Contohnya, edaran kuih bulan yang baru lepas, sambutan diterima baik. Tiada orang bukan Melayu yang menolak malah mereka menggalakkan kita memperhebatkan aktiviti sedemikian,” katanya kepada FMT.
Tony berkata pengundi bukan Melayu semakin bijak menilai parti politik, dan PAS mula diterima sebagai parti yang berprinsip dan bebas rasuah.
Katanya lagi, PAS perlu lebih agresif menerangkan dasar parti kepada masyarakat bukan Islam.
“Lambang bukan isu besar, itu sekadar identiti. Dasar dan polisi pentadbiran lebih utama untuk diketengahkan kepada pengundi bukan Melayu,” katanya.
Penganalisis melihat lambang PAS sebagai pilihan paling praktikal untuk digunakan parti komponen PN pada PRN Melaka sekiranya penggantungan gabungan itu oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) berterusan.
Bagaimanapun, lambang PAS dilihat ‘agak ekstrem’ di negeri-negeri yang bukan kubu tradisi PAS, kata Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia.
Penganalisis mengulas gesaan Presiden Gerakan Dominic Lau supaya semua parti komponen PN menggunakan satu simbol tunggal pada PRN Melaka sekiranya penggantungan gabungan itu oleh JPPM berlarutan.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.