The Daily Newsstand · Free, Always
Sunday, August 16, 2026

‘Panggil mesyuarat DAP P Pinang’, Chow diberitahu susulan kekal BN dalam kerajaan

Translate

Penasihat DAP Lim Guan Eng menyeru Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow memanggil mesyuarat dengan DAP negeri bagi membincangkan keputusan mengekalkan Umno dalam kerajaannya.

Adun Air Putih itu berkata, pertemuan sedemikian perlu bagi Chow menilai sentimen pemimpin parti negeri, memandangkan ketegangan berlaku antara Umno dan DAP di peringkat persekutuan, susulan PRN baru-baru ini.

“Chow tidak sepatutnya menganggap semua perwakilan Pulau Pinang menyokong keputusannya hanya kerana tiada siapa yang membangkitkan perkara tersebut dalam mesyuarat pada hari Rabu,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Lim merujuk kepada mesyuarat perwakilan dari Pulau Pinang, Kedah, dan Perlis untuk membincangkan sama ada parti itu patut kekal dalam kerajaan perpaduan.

Beliau berkata, sama ada beliau mahupun mana-mana perwakilan parti yang lain tidak membangkitkan isu keputusan Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang pada mesyuarat tersebut kerana ‘agenda tunggalnya adalah sama ada DAP patut keluar atau kekal dalam kerajaan persekutuan’.

Mesyuarat itu tidak pernah menyentuh mengenai peranan Umno dalam kerajaan negeri, kata Lim.

Lim berkata, Chow sepatutnya memanggil satu lagi mesyuarat bersama DAP Pulau Pinang, yang memfokuskan kepada mesej yang mahu disampaikan PH Pulau Pinang kepada pengundi dengan mengekalkan Umno dalam kerajaan negeri.

Minggu lalu, PH Pulau Pinang memutuskan untuk mengekalkan kerjasamanya dengan Barisan Nasional (BN) di peringkat negeri walaupun BN membentuk pakatan dengan gabungan pembangkang, Perikatan Nasional (PN), pada PRN Negeri Sembilan.

Chow berkata, kepimpinan parti secara sebulat suara mengekalkan wakil tunggal exco BN, Rashidi Zinol, dalam pentadbiran negeri.

Namun, Lim mengkritik langkah tersebut sambil menyifatkannya sebagai tidak boleh difahami dan pada dasarnya merupakan ‘sokongan tanpa syarat’ terhadap peranan Umno dalam kerajaan negeri. Beliau menggesa kepimpinan PH Pulau Pinang ‘bertindak tegas’ dengan menekankan PN kini telah menjadi rakan kepada Umno.

Chow bagaimanapun menepis apa disebut Lim sambil menyatakan tiada sesiapa yang membangkitkan perkara berkenaan pada mesyuarat Rabu lalu.

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.

View the original on Free Malaysia Today

KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.