Raja Perlis berkenan terima menghadap duta besar Indonesia

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan menerima menghadap Duta Besar Republik Indonesia ke Malaysia Raden Mohammad Iman Hascarya di Balai Mengadap Biru, Istana Arau.
Istana Arau dalam kenyataan, memaklumkan pertemuan berlangsung semalam itu mencerminkan hubungan erat yang terus berkembang antara Malaysia dan Indonesia, khususnya Perlis sejak sekian lama.
“Kedudukan Perlis yang bersempadan dengan Thailand serta berdekatan dengan wilayah utara Sumatera turut memberi kelebihan strategik kepada negeri ini dalam memperkukuh hubungan rentas sempadan serta jaringan kerjasama serantau,” menurut kenyataan itu.
Hadir sama, Konsul Jenderal Republik Indonesia di Pulau Pinang Wanton Saragih Sidauruk.
Istana Arau berkata, hubungan Perlis dengan Indonesia diperkasa melalui kerjasama dalam bidang pendidikan, terutama menerusi penubuhan Universiti Muhammadiyah Malaysia (Umam) di negeri itu.
“Umam merupakan satu-satunya kampus Universiti Muhammadiyah pertama di luar Indonesia dan baru sahaja melantik Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sebagai canselor baru-baru ini (pada 14 Sept).”
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.