The Jerusalem PostAustralia sanctions individuals, organizations tied to West Bank settlements, settler violenceInquirerOas in Albay launches digital services to cut red tape, lessen feesPunchFG orders recovery of excess payments to university workersCNN TürkRESMİ GAZETE KARARLARI 18 KASIM: Resmi Gazete atamaları ve kararları neler? Bayburt Üniversitesi öğretim üyesi alımı ilanı yayınlandı!한겨레미국 노동자, 업무에 AI 사용시간 5.3% 불과…“AI 생산성효과 아직 미미”ZDF heuteAktuelle Pressemitteilungen des ZDFNew Straits TimesPolice arrest 36 foreigners in Kuantan love scam raids경향신문46표 차로 당선된 전화식 성주군수···경찰, ‘위장전입 의혹’ 압수수색GMA NewsSara Duterte camp says 2 former staff now safe amid alleged threatsDeadlineIDA Awards Nominations: ‘Concrete Land’ Lands 6, With ‘To Hold A Mountain’ Close Behind; Elizabeth Holmes Doc In The MixХабр«Процесс» Франц КафкаLa NaciónVideo: los golazos de Nico Paz, Julián Álvarez, Franco Mastantuono y Alexis Mac Allister para la Argentina ante Costa Rica
The Daily Newsstand · Free, Always
Wednesday, November 18, 2026

Dari pejuang reformasi kepada pencari alasan, PH berdepan kemerosotan

Translate

Pakatan Harapan (PH) boleh sahaja menyalahkan politik perkauman, perpecahan dalam kalangan pengundi dan kekuatan seteru politiknya yang semakin meningkat. Namun, selepas sekali lagi menerima tamparan hebat di Melaka, mungkin sudah tiba masanya gabungan itu bermuhasabah.

Keputusan pilihan raya Sabtu lalu menyaksikan Barisan Nasional (BN) memenangi 21 kerusi, manakala sekutunya, Perikatan Nasional (PN), meraih tiga. PH pula hanya memperoleh empat kerusi, kurang satu berbanding pilihan raya 2021.

Kekalahan itu menjadi satu lagi tamparan kepada PH selepas mencatat prestasi hambar dalam pilihan raya di Johor dan Negeri Sembilan.

Namun, berdasarkan pengalaman lalu, tidak mustahil bedah siasat PH kali ini sekali lagi berkisar pada alasan sama, iaitu politik perkauman, undi Melayu dan kegagalan menembusi kawasan luar bandar.

Tidak dinafikan kaum dan agama mempengaruhi pilihan pengundi di negara ini. Namun, faktor itu tidak boleh selamanya dijadikan alasan mudah untuk menjelaskan kelemahan PH dalam pilihan raya.

Sampai bila PH mahu mempersoalkan mengapa pengundi kononnya terpengaruh dengan politik perkauman, tanpa bertanya mengapa pengundi sama tidak lagi yakin gabungan itu layak mendapat sokongan mereka?

Melupakan janji

Antara masalah terbesar PH ialah keengganannya mengakui jurang antara janji yang dibuat sebelum berkuasa dengan apa yang berjaya ditunaikan.

PH mula berkuasa pada 2018 dengan janji melaksanakan reformasi institusi, meningkatkan kebertanggungjawaban dan ketelusan, serta mewujudkan budaya politik lebih bersih. Namun, selepas lapan tahun, sejauh mana semangat perubahan itu masih kekal?

PH tidak boleh terus mengharapkan sokongan rakyat semata-mata kerana suatu ketika dahulu ia menjadi alternatif kepada BN.

Sejak November 2022, PH menjadi sebahagian daripada kerajaan dengan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri, manakala pemimpin parti komponennya memegang jawatan penting dalam Kabinet. Gabungan itu sudah mempunyai peluang untuk menunaikan janjinya.

Sebaliknya, pengundi sering disajikan dengan pelbagai alasan mengapa reformasi tidak dapat dilaksanakan atau mengapa kompromi politik perlu dibuat.

Di mana permohonan maaf atas janji yang tidak ditunaikan atau dikurangkan skopnya? Di mana usaha berterusan untuk mendekati semula masyarakat yang berasa terpinggir, bukan sekadar menjelang pilihan raya tetapi sepanjang tempoh pemerintahan?

Mungkin percanggahan paling ketara ialah bagaimana PH semakin menjauh daripada prinsip yang pernah diperjuangkannya sendiri.

Dahulu, gabungan itu memperjuangkan pengagihan peruntukan Parlimen yang lebih adil, dengan menegaskan dana awam tidak sepatutnya dijadikan senjata politik untuk menghukum Ahli Parlimen pembangkang. Kini, peruntukan kepada Ahli Parlimen yang dianggap bermasalah pula ditarik balik.

Apa pun alasan politik yang diberikan, percanggahan ini sukar diketepikan. Gabungan yang pernah mengecam kerajaan terdahulu kerana mengamalkan diskriminasi politik kini terpaksa mempertahankan tindakannya sendiri berhubung pengagihan sumber awam.

Pengundi tidak menyokong PH semata-mata untuk melihat pertukaran pihak yang memegang kuasa. Mereka mahukan perubahan terhadap cara kuasa itu digunakan.

Strategi pempengaruh yang memakan diri

Satu lagi aspek strategi politik PH yang wajar dipersoalkan ialah kebergantungannya kepada pempengaruh media sosial dan pencipta kandungan.

Tidak salah menggunakan kempen digital, terutama untuk mendekati pengundi muda. Namun, ada perbezaan antara menggunakan media sosial secara berkesan dengan menganggap video mengikut trend, lakonan berskrip dan kandungan yang kononnya dekat dengan rakyat mampu diterjemahkan kepada sokongan politik.

Ketika PRU15, kempen PH banyak menumpukan perbincangan dasar, reformasi institusi dan usaha memerangi rasuah. Kini, sebahagian kempen media sosialnya seolah-olah kehilangan kesungguhan itu.

PH semakin dikaitkan dengan kandungan yang kelihatan dibuat-buat, janggal dan tidak mencerminkan realiti golongan yang cuba didekatinya. Malah, ada dalam kalangan penyokong PH sendiri yang mengkritik pendekatan itu di media sosial.

Ahli politik bukan penghibur. Pengundi muda yang bergelut dengan gaji tidak meningkat, kos sara hidup yang tinggi dan kesukaran memiliki rumah tidak semestinya tertarik hanya kerana seorang ahli politik pandai menari mengikut trend atau menyampaikan jenaka yang sudah dihafal.

PH seolah-olah tersalah anggap bahawa interaksi di media sosial membawa maksud sokongan politik yang sebenar.

Parlimen bukan kedai mamak

Tingkah laku segelintir Ahli Parlimen PH juga semakin sukar dipertahankan.

Parlimen sepatutnya menjadi tempat wakil rakyat membahaskan dasar, meneliti rang undang-undang dan mengetengahkan masalah penduduk di kawasan masing-masing.

Walaupun ada Ahli Parlimen pembangkang yang gemar menggunakan kenyataan provokatif untuk memancing reaksi wakil kerajaan, wakil rakyat PH sepatutnya lebih bijak daripada terjebak dalam perangkap sama.

Gelagat sesetengah wakil rakyat, termasuk RSN Rayer (Jelutong) dan Sany Hamzan (Hulu Langat), menimbulkan persoalan sama ada mereka benar-benar memahami perbezaan antara perbahasan Parlimen yang tegas dengan tindakan sekadar mencetuskan kekecohan.

Tidak salah untuk bersuara lantang atau bertegas mempertahankan pendirian, tetapi setiap hujah mesti mempunyai isi dan asas yang kukuh.

Pengundi mahu tahu apa yang dilakukan wakil rakyat mereka untuk menangani masalah pengangkutan awam, pengangguran, perumahan dan penjagaan kesihatan.

Mereka tidak memilih Ahli Parlimen untuk menjadikan persidangan Dewan Rakyat seperti pertengkaran panas di kedai mamak.

Pemilihan calon bukan eksperimen media sosial

Pilihan raya Melaka turut mendedahkan kelemahan PH dalam proses pemilihan calon.

Memberi peluang kepada calon muda sememangnya langkah yang baik. Namun, usia muda semata-mata tidak sepatutnya menjadi ukuran kelayakan seseorang untuk memegang jawatan awam.

Setiap calon perlu melalui proses tapisan sewajarnya dan membuktikan mereka benar-benar memahami keperluan masyarakat yang ingin diwakili.

Antara calon yang mendapat perhatian atas sebab kurang menyenangkan ialah Mukhlisul Mubin Julasapiyah (Kuala Linggi), atau lebih dikenali sebagai Mukhlis Mubin.

Kempennya banyak menonjolkan identiti generasi Z (Gen Z), termasuk menggunakan slogan “This is how Gen Z works”.

Sebuah video kempennya menerima pelbagai reaksi selepas beliau mendakwa berjaya mendapatkan pengecualian bayaran penalti lebih RM70,000 yang dikenakan terhadap Persatuan Nelayan Kawasan Melaka Barat dalam tempoh sehari.

Menurut Mukhlis, beliau menghubungi setiausaha politik Anwar yang kemudian membawa perkara itu kepada Anwar selaku menteri kewangan. Anwar kemudiannya meluluskan pengecualian berkenaan.

Walaupun usaha membantu persatuan yang mewakili 278 nelayan itu wajar dipuji, kejadian berkenaan menimbulkan persoalan sama ada hubungan politik digunakan untuk mendapatkan layanan istimewa.

Pengkritik mempersoalkan sama ada tindakan itu mencerminkan amalan kronisme, bukannya reformasi institusi yang selama ini dijanjikan PH.

Pencalonan Mukhlis turut menimbulkan persoalan memandangkan bapanya pernah bertanding di Kuala Linggi sebanyak lima kali, tetapi tidak pernah menang.

PH perlu bertanya kepada dirinya sendiri sama ada calon dipilih berdasarkan kemampuan meraih keyakinan rakyat atau sekadar kerana mereka sesuai dengan imej dan naratif kempen tertentu.

Untuk menjadi seorang Adun yang mampu mewakili seluruh kawasan, seseorang memerlukan lebih daripada sekadar kandungan media sosial yang menarik.

Pengundi tidak wajib memberi PH peluang kedua

Satu lagi kelemahan PH yang berlarutan sejak sekian lama ialah jentera akar umbinya.

Gabungan itu tidak boleh mengharapkan hubungan dengan masyarakat terbina hanya melalui lawatan sekali-sekala dan program turun padang yang diatur khusus untuk kempen.

BN dan PAS mengambil masa berpuluh-puluh tahun membina rangkaian sokongan melalui pemimpin setempat, cawangan parti dan pertubuhan masyarakat.

Jentera seperti itu tidak mungkin dapat diwujudkan secara tiba-tiba dalam tempoh dua minggu sebelum hari pengundian.

PH perlu memahami bahawa kesetiaan politik dibina melalui hubungan yang konsisten dengan masyarakat, bukannya kehadiran bermusim ketika kempen pilihan raya.

Mungkin hakikat paling sukar untuk diterima PH ialah pengundi tidak mempunyai sebarang kewajipan untuk terus setia kepadanya.

Mereka yang menyokong PH pada 2018 berbuat demikian kerana percaya gabungan itu mampu membawa Malaysia ke arah yang lebih baik. Sokongan itu bukan bermakna mereka terikat untuk terus memilih parti sama sepanjang hayat.

Sebahagian pengundi mungkin tidak menolak agenda reformasi PH. Sebaliknya, mereka mungkin sudah kecewa dengan individu yang diberi amanah untuk melaksanakannya.

Kekalahan di Melaka sepatutnya membawa makna lebih besar daripada sekadar satu lagi keputusan pilihan raya yang mengecewakan, disusuli mesyuarat bedah siasat dan alasan yang sama.

PH perlu menilai secara jujur kepimpinannya, pemilihan calon, kekuatan jentera akar umbi, tingkah laku wakil rakyat di Parlimen dan paling penting, pencapaiannya sepanjang berada dalam kerajaan.

Kaum dan agama akan terus memainkan peranan dalam politik Malaysia. Namun, menyalahkan politik perkauman setiap kali pengundi menjauh bukanlah satu analisis politik. Sebaliknya, ia seolah-olah pengakuan bahawa PH sudah kehabisan jawapan.

Suatu ketika dahulu, PH meminta rakyat Malaysia percaya bahawa budaya politik yang berbeza mampu diwujudkan. Kini, gabungan itu perlu membuktikan bahawa wawasan tersebut masih layak mendapat kepercayaan rakyat.

Persoalannya bukan lagi mengapa pengundi meninggalkan PH, tetapi mengapa PH terus memberikan mereka alasan untuk berbuat demikian.

Penulis ialah wartawan di Meja Bahasa Inggeris FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

View the original on Free Malaysia Today →

KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.