Guna lambang BN: PAS perlu ada jawapan sekarang apabila hubungan retak

Persoalan mengenai status wakil rakyat PAS yang bertanding atas lambang Barisan Nasional (BN) perlu diselesaikan lebih awal, termasuk implikasi undang-undang apabila hubungan retak.
Penganalisis berkata penggunaan lambang parti sekutu dalam kalangan rakan segabungan bukan ‘formula baharu’, merujuk kepada penggunaan lambang PAS oleh calon-calon Bersatu di Kelantan pada PRU15, serta calon PH guna lambang PKR pada PRU14.
Namun situasi berpotensi menjadi rumit apabila membabitkan parti daripada gabungan berbeza, dan PAS perlu menjawab sama ada penyandang bertanggungjawab kepadanya atau BN.
“Status keahlian dan implikasi undang-undang antilompat parti perlu dijelaskan dari awal. Jangan tunggu sehingga berlaku perpecahan baru hendak mencari jawapan,” kata Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri daripada Global Asia Consulting.
Kelmarin, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata rundingan pembahagian kerusi dengan Umno pada PRN Melaka sudah mencapai kira-kira 90%.
PAS juga menyatakan kesediaan menggunakan logo BN sekiranya ia dapat membantu memuktamadkan kerjasama berkenaan, seperti disuarakan oleh Presiden Hadi Awang sebelum ini.
PAS yang ketika ini menerajui PN menyatakan kesediaan itu selepas JPPM menggantung semua kegiatan PN susulan aduan Bersatu, yang menurut Bersatu berkenaan pelanggaran perlembagaan PN oleh kepimpinan PN.
Semalam, Umno dilapor mengalu-alukan kesediaan PAS menggunakan lambang BN, namun Naib Presiden Khaled Nordin menekankan keterbukaan itu tidak terpakai kepada semua parti.
“Kenyataan Khaled yang dilihat lebih berhati-hati terhadap penggunaan logo BN oleh parti seperti Wawasan membuka satu lagi persoalan: apakah prinsipnya?” kata Zaharuddin.
Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia pula berkata rundingan berkenaan lambang seeloknya antara gabungan.
“Umno dan PAS hanya parti politik, sedangkan BN dan PN adalah gabungan politik yang mana Umno dan PAS merupakan komponen. Rundingan politik eloknya setara: parti dengan parti, gabungan dengan gabungan,” katanya.
Beliau berkata Umno tiada alasan untuk menolak komponen PN lain seperti Wawasan, Gerakan dan MIPP jika parti komponen BN lain bersetuju.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.