Salah ni Tan Sri Dato Seri…


Terlebih dahulu, saya perlu memberitahu bahawa ‘Tan Sri’ dan ‘Dato Seri’ pada tajuk penulisan ini ialah anugerah kebesaran yang dipakai Presiden PAS Hadi Awang. Artikel ini sekadar menjelaskan apa yang dinyatakan beliau tempoh hari adalah salah.
Saya petik laporan FMT kelmarin. Kata Hadi partinya semakin mendapat sokongan golongan bukan Islam, namun golongan yang beliau maksudkan ialah mereka yang dia sifatkan sebagai ‘tidak ekstrem’.
Jadi adakah Hadi menyifatkan semua orang bukan Islam yang tidak menyokong PAS golongan ‘ekstrem’?
Apakah takrif ‘ekstrem’ menurut pandangan presiden PAS itu? Siapakah golongan ‘tidak ekstrem’ yang presiden PAS itu maksudkan? Saya kira MCA, MIC dan juga Gerakan, kerana Hadi pernah kata PAS boleh dan sudah bekerjasama dengan tiga parti itu.
Namun, penerimaan Hadi akan MCA dan MIC ialah berdasarkan dua parti itu komponen Barisan Nasional, dan PAS mempunyai persefahaman dengan BN sejak PRN Negeri Sembilan. Gerakan pula sememangnya komponen Perikatan Nasional. Maka, tidak bolehlah kita menyamakan sokongan tiga parti itu dengan sokongan masyarakat bukan Islam, kerana tiga parti itu tidak lagi mewakili komuniti itu secara menyeluruh.
Apa pun, menurut Hadi, PAS yakin mampu menewaskan PH pada PRU16 kelak berdasarkan ‘keputusan memberangsangkan’ dalam beberapa PRN baru-baru ini. Jelas beliau merujuk kepada PRN Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.
Tetapi keputusan memberangsangkan di tiga PRN itu tercapai hasil kerjasama dengan Umno. Hakikatnya, gandingan PAS-Umno disokong pengundi Melayu, bukannya pengundi bukan Melayu bukan Islam.
Diakui Hadi banyak menyumbang kepada pencapaian bergaya itu apabila menyeru penyokong PAS mengundi BN. Kenyataan beliau bahawa wajib orang Islam sokong calon Islam diakui sebilangan besar pengundi Melayu. Bagaimanapun that same statement telah menyaksikan golongan bukan Islam bukan Melayu menjauhi PAS. Bukanlah rahsia mereka tidak senang dengan kenyataan Hadi, sedangkan ramai pemimpin bukan Melayu yang baik dan bersih. Bahkan, perasaan orang bukan Islam terguris apabila Hadi mendakwa orang bukan Islam sebagai punca gejala rasuah.
Jadi apabila Hadi kata PAS semakin dapat sokongan bukan Islam adalah sesuatu yang tidak betul.
Untuk double confirm pendapat saya itu, saya bertanya beberapa penyelidik yang membuat kaji selidik di lapangan semasa tiga PRN tempoh hari. Seorang daripada mereka memberitahu saya bahawa apa yang dikatakan Hadi itu tidak betul, menurut dapatan para penyelidik. Seorang lagi kata “finding saya: tak betul”.
Ringkasnya, Hadi salah dalam rumusannya.
Kenyataan Hadi sememangnya pelik. Saya yang tidak berbekalkan hasil penyelidikan pun boleh rasa majoriti orang bukan lslam tidak sokong PAS, tidak kira ‘ekstrem’ atau ‘tak ekstrem’ (sekadar meminjam istilah Hadi).
Daripada mana Hadi dapat maklumat sehingga beliau boleh merumuskan sokongan bukan Islam kepada PAS semakin meningkat? Mustahil para penyelidik PAS tak tahu keadaan sebenar — tak mungkin mereka tidak beri laporan tepat dan benar kepada presiden.
Adakah Hadi punya intel sendiri? Maklumlah presiden memang wajar ada banyak saluran maklumat tetapi apa yang beliau umumkan itu tidak betul.
Mungkinkah apa yang Hadi katakan itu bertujuan menyuntik semangat pemimpin dan ahli parti supaya mereka mempunyai keyakinan bagi menghadapi PRU kelak? Tetapi, bak dikata tadi, tentu mereka juga ada maklumat sendiri mengenai keadaan sebenar.
Atau mungkin Hadi sekadar main psywar untuk menakutkan pihak lawan, atau Hadi mahu menenangkan perasaan Umno yang mungkin gusar kenyataan Hadi akan membuatkan orang bukan Islam menjauhi PAS-Umno?
Mungkinkah juga untuk tenangkan perasaan ahli PAS sendiri yang memendam rasa tetapi risau kata-kata Hadi akan menyusahkan parti memikat hati pengundi bukan Islam?
Imbau kembali PRN Melaka. Tidak sampai 48 jam sebelum orang Melaka keluar mengundi, Hadi berucap di pentas grand finale BN-PN untuk memberi peringatan tentang pentingnya umat Islam keluar mengundi. OK, no problem with that.
Kata beliau, dalam Islam perkiraan politik dibuat berlandaskan faktor dosa dan pahala berbanding orang bukan Islam yang dituduhnya ‘zalim’. Katanya lagi, kesan daripada orang Islam tidak keluar mengundi ialah ‘orang lain’ yang akan jadi pemerintah, dan menurut Hadi mereka akan bertindak mengikut perkiraan sendiri dan mengabaikan amanah yang diwajibkan Allah.
Siapakah ‘orang lain’ yang beliau maksudkan? Saya kira umum tahu.
Apapun beliau kata sebab itu orang Islam mesti tunaikan kewajipan mengundi untuk memimpin seluruh manusia. Do you think orang bukan Islam senang dengan kata-kata itu?
Apa lagi ini: “sejahat-jahat orang Islam seburuk-buruk orang Islam memerintah negeri, mereka tidak sezalim orang bukan Islam.” Tuduhan ini memang menyakiti hati orang bukan Islam.
Menurut Malaysiakini, setiausaha politik kepada Hadi iaitu Syahir Sulaiman memberitahu portal berita itu bahawa kenyataan Hadi kononnya merujuk kepada apa yang berlaku dalam sejarah pemerintahan Islam.
Bagi saya, penjelasan itu sukar diterima kerana maksud dan sasaran Hadi memang jelas. Ia mencetuskan kemarahan orang bukan Islam termasuk parti yang mengaku sekutu PAS.
Menyusuli kenyataan Pejabat Presiden PAS yang mendakwa kata-kata Hadi dipetik di luar konteks, ini pada hemat saya tidak lebih daripada usaha damage control. Hakikatnya apa yang Hadi kata tidak boleh atau susah dipertahankan. Apatah lagi ada video ucapan.
Realitinya Hadi did say what he said. Soal luar konteks tidak timbul. Pejabat Presiden PAS pun tidak menafikan, cuma mendakwa kenyataan Hadi was taken out of context.
Mungkin Hadi mahu buktikan kepada semua pihak termasuk ahli parti bahawa kenyataannya tidak mendatangkan mudarat — sebaliknya PAS semakin dapat sokongan orang bukan Islam meskipun facts and figures showed otherwise.
Kesimpulan terbaik dibuat seorang penganalisis politik, apabila berkata: “Kalau Hadi yang kata, yang pelik-pelik ni tak menghairankan.”
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.