Anggota Malbatt di Lubnan pulang mulai Januari, kata Khaled

Semua anggota Batalion Malaysia (Malbatt) yang kini bertugas di Lubnan dijangka mula pulang ke tanah air pada Januari 2027, susulan penamatan mandat Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (Unifil) pada akhir tahun ini.
Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata proses pengunduran anggota berkenaan akan dilakukan secara berperingkat menerusi beberapa penerbangan, disusuli dengan kepulangan aset ketenteraan menggunakan laluan laut bermula pada 17 Jan.
Beliau berkata semua batalion yang beroperasi di Lubnan dijadualkan menamatkan penugasan masing-masing pada akhir Disember ini selaras dengan berakhirnya mandat misi berkenaan.
“Anggota kita dijangka mula pulang pada Januari tahun depan melalui beberapa penerbangan, manakala aset ketenteraan Malaysia pula akan dibawa pulang menggunakan kapal bermula pada 17 Jan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Asrama Anak-Anak Yatim Islam Kota Tinggi.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Kota Tinggi itu menyatakan kesediaan Malaysia untuk mempertimbangkan penyertaan dalam pasukan pengaman baharu di Lubnan sekiranya dimohon oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Bagaimanapun, beliau berkata kesediaan itu tertakluk pada keputusan PBB dan mandat yang diberi, memandangkan Malaysia tidak akan menyertai sebarang operasi ketenteraan yang tidak berada di bawah mandat badan dunia berkenaan.
“Sekiranya pihak PBB memutuskan untuk menubuhkan pasukan baharu atas apa jua nama sekalipun dan memerlukan penglibatan kita, Malaysia bersedia untuk menyertainya.
“Namun, hal ini tertakluk pada keputusan PBB. Kita tidak akan terlibat dalam sebarang operasi yang tidak berada di bawah mandat badan dunia berkenaan,” katanya.
Mengulas lanjut, Khaled berkata perkara itu turut disentuh dalam lawatan kerja beliau ke Lubnan baru-baru ini, termasuk menerusi perbincangan bersama dengan rakan sejawatnya yang memaklumkan situasi keselamatan di negara berkenaan masih bergolak dan terdedah kepada pelbagai ancaman.
Ketika ini, katanya, persidangan PBB sedang berlangsung dan sebahagian besar negara yang menyertai misi pengaman itu turut menyuarakan pandangan agar penamatan misi tersebut dikaji semula.
Menyingkap sejarah penglibatan negara di Lubnan, Khaled berkata pembabitan tentera Malaysia bermula sejak 2007 dalam skala kecil sebelum PBB meluluskan penugasan bertaraf satu batalion penuh pada 2013.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.