Sanusi dengan ketuanan PAS


Saya mulakan penulisan ini dengan mengimbau kembali sedutan ucapan penggulungan Sanusi Nor selaku pengarah pilihan raya PAS pada muktamar PAS pada 16 Sept 2025.
Kata Sanusi, pada PRU15, parti rakan dalam Perikatan Nasional (PN) bergantung pada peralatan yang terpaksa dibayar oleh PAS: “Semua peralatan kita bayar, mereka datang bertanding sahaja, lepas tu nak jadi ketua tapi duit tak ada dan jentera tak ada.”
Dan kata beliau lagi, “Jangan sampai kita ungkit semua”. Sebenarnya apa yang diucapkan itu sudah pun boleh dianggap ‘mengungkit’.
Sindiran Sanusi umum tahu ditujukan kepada Muhyiddin Yassin dan partinya Bersatu yang ketika itu duduk bersama PAS dalam PN. Tidak lama kemudian, hubungan antara dua parti itu mulai renggang. The rest is history.
Imbau pula ucapan Sanusi pada muktamar PAS 2026 awal bulan ini. “PAS ni sudah jadi parti gajah. Tiba tiba lalu kucing bawa anak dua tiga ekor … jadi takut.” Rasanya ramai sudah tonton video ucapan itu.
Jika pernah ikuti, tentu anda ingat apa lagi kata beliau: “Jangan ikut kucing tu, dia pun baru nak hidup ja Dia baru tubuh parti dua hari lepas, dok ajar kita lepas tu kita turut dia, tak betul tu.”
Siapa yang Sanusi maksudkan? Mana parti yang baru ditubuhkan? Mungkinkah Wawasan? Wallahua’lam tetapi memang Wawasan baru ditubuhkan akibat masalah dalaman Bersatu. Ia parti serpihan Bersatu. Dan Wawasan baru diterima sebagai komponen PN.
Perhatikan beberapa sedutan ucapan Sanusi lagi: “Orang yang ada masalah pun, mai kat kita. Mereka nak cari ubat, suruh kita hembus, kita tolonglah hembus .Dah jadi sihat elok, jangan nak duduk atas kepala kita pulak.”
“Pastu dah tak ada orang, ambil orang kita, lepas tu kita pi seronok. Orang kita pi kat dia, kita seronok. Lepas tu, parti dia besar, parti kita kecil. Dia jadi calon, kita jadi jentera.
“Orang mai menumpang kita, kita pula rasa kerdil. Bilik tidur kita, bagi kat dia, kita tidur ruang tamu … banyak cantik!”
Adakah apa yang Sanusi huraikan itu sudah berlaku? Adakah parti yang baru ‘berusia’ dua hari dan punya masalah datang minta pertolongan PAS, tetapi sekarang sudah besar kepala, lantas buat tuntutan? Dah nak duduk atas kepala PAS?
Sanusi pemimpin kanan parti. Tentu beliau tahu apa yang ramai termasuk ahli PAS biasa tidak tahu.
Atau mungkin beliau ‘sekadar’ mengingatkan PAS supaya berhati-hati agar apa yang beliau kata tadi tidak terjadi?
Pun begitu, mesejnya jelas, yakni PAS jangan rasa diri kerdil.
Ini kerap beliau ulangi. Masalah orang PAS, rasa kerdil, padahal PAS sudah parti besar berusia 75 tahun, katanya. Namun bagi saya yang melihat PAS dari luar dan jauh, parti itu tidak pernah tunjuk tanda rasa diri kerdil. At least not in the open.
Malah ramai pemimpinnya bila bercakap kedengaran ‘condifent’ sehingga tahap overconfident dan appear arrogant. Bagaimanapun, Sanusi pada ucapannya menyentuh juga aspek ‘deal’.
Maksudkan apabila pemimpin atau sesiapa yang mewakili PAS pergi berunding dengan pihak dalam dan luar PN, elemen ‘kerdil’ timbul, yang boleh atau sudah bawa sesal di belakang hari.
“Jangan lepas dok rugi, bagi semua kat orang, lepas tu menyesal mai dok meratap di sini.”
Ini jelas merujuk rundingan pengagihan kerusi untuk ditandingi pada PRU atau PRN. Adakah rundingan atau meminjam istilah Sanusi, ‘deal’, membabitkan Wawasan?
Mungkin ya, tetapi runding dengan Wawasan tentang kerusi untuk dipertandingkan bukan masalah besar untuk PAS. Meskipun Presiden PAS Hadi Awang ada soft spot terhadap Hamzah Zainudin, iaitu presiden Wawasan, saya percaya PAS will not be cowed. Ibarat parti gajah dengan parti kucing. Sekali lagi meminjam istilah yang digunakan Sanusi.
Maka menurut saya, selain rundingan dalam PN, apa yang diperkatakan Sanusi pada ucapannya merujuk lebih kepada seat negotiation dengan parti besar, umpamanya Umno.
Mesej Sanusi adalah pemimpin dan juru runding PAS mesti berani mempertahankan pendirian. “Kerusi kita jangan diserahkan.”
Menghayati apa yang dikatakan Sanusi, mesejnya, menurut saya, ditujukan kepada kepimpinan PAS, iaitu sama ada runding dengan parti luar PN (boleh dibaca Umno), apa lagi dengan komponen (Wawasan, Pejuang, Gerakan, MIPP), PAS mesti jadi tuan.
Meskipun mesej disampaikan menerusi ucapan 5 Sept lalu, saya kira pendirian Sanusi tidak berubah.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.