24 Adun BN, PN N Sembilan akur arahan, ketetapan parti berkait isu MB

Seramai 24 daripada 25 Adun Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan berkata mereka akur dan patuh dengan arahan pucuk pimpinan dan ketetapan parti susulan isu perletakan jawatan Ismail Lasim sebagai menteri besar.
Pengerusi BN negeri, Mohamad Hasan berkata ketetapan itu dibuat dalam perjumpaan khas di Wisma Umno Negeri Sembilan di Seremban malam tadi yang turut dihadiri Adun PN.
Katanya, Ismail yang juga Adun Juasseh tidak hadir dalam perjumpaan berkenaan termasuk dua lagi Adun yang berada di luar negara. Bagaimanapun, dua Adun yang berada di luar negara itu menyatakan sokongan penuh atas apa jua keputusan mesyuarat.
“Dalam perjumpaan khas ini, semua Adun mencapai kata sepakat untuk akur dan patuh atas apa jua arahan pucuk pimpinan dan ketetapan parti termasuk Adun daripada PN.
“Ini bagi memastikan segala kemelut politik yang sedang melanda dapat diselesaikan segera demi kestabilan dan kemakmuran rakyat Negeri Sembilan,” katanya dalam satu kenyataan.
Krisis perlembagaan di Negeri Sembilan memasuki episod baharu apabila Setiausaha Agung BN, Zambry Abdul Kadir, pada 16 Nov lalu mengumumkan Ismail meletak jawatan sebagai menteri besar selepas BN menerima salinan surat peletakan jawatan bertarikh sama yang dialamatkan kepada Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir..
Bagaimanapun, Istana Negeri Sembilan pada 17 Nov memaklumkan surat itu hanya diterima pada 12.16 tengah malam daripada seorang individu yang mendakwa mewakili sebuah firma guaman. Ketulenan surat itu juga masih belum disahkan.
Istana turut menjelaskan peletakan jawatan menteri besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz.
Semalam, Tuanku Muhriz menitahkan Ismail meneruskan khidmat dan tanggungjawab sebagai menteri besar bagi memastikan kesinambungan pentadbiran negeri terus terpelihara.
Ismail mengesahkan perkara itu selepas menghadap Tuanku Muhriz, dan berkata beliau akan memberikan komitmen untuk terus melaksanakan amanah serta tanggungjawab diberikan dengan penuh dedikasi.
Beliau turut menafikan mengemukakan surat peletakan jawatan itu.
Namun, Istana Negeri Sembilan dalam kenyataan menyatakan bahawa Ismail perlu menunjukkan masih mendapat sokongan majoriti Adun untuk terus memegang jawatan menteri dan hendaklah mengemukakan senarai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk pertimbangan Tuanku Muhriz.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.