BN-PN berpeluang rampas Parlimen Kota Melaka milik DAP, dakwa pemimpin Umno

Keputusan PRN Melaka yang menyaksikan jurang undi Pakatan Harapan (PH) dengan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di lima DUN bawah Parlimen Kota Melaka mengecil kepada 5,479 undi, membuka ruang untuk ‘gelombang biru’ merampas kerusi itu pada PRU16.
Ketua Umno Kota Melaka, Abdul Razak Abdul Rahman, berkata PH memperoleh 56,455 undi di lima DUN itu, berbanding 50,976 dikumpulkan BN dan PN.
Katanya, perbezaan itu menunjukkan perubahan ketara berbanding PRU15 apabila calon PH bagi Parlimen Kota Melaka memperoleh majoriti 46,420 undi.
Parlimen Kota Melaka disandang Ketua DAP negeri, Khoo Poay Tiong sejak 2018.
Pada PRN 14 Nov lalu, PH memenangi tiga daripada lima kerusi berkenaan iaitu Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir, manakala BN melalui Umno menawan Duyong dan Telok Mas.
Razak berkata, keputusan itu turut memperlihatkan keberkesanan pemindahan undi antara BN dan PN walaupun kerjasama kedua-dua gabungan dimeterai hanya beberapa hari sebelum penamaan calon.
Beliau berkata, kemenangan Umno di Duyong dan Telok Mas dengan majoriti melebihi 10,000 undi setiap DUN turut menjadi perkembangan penting dalam menilai perubahan sokongan pengundi di Parlimen itu.
“Perbandingan ini merupakan asas untuk meneliti perubahan landskap politik Kota Melaka, dengan mengambil kira kerjasama BN dan PN, calon dan parti yang diamanahkan untuk bertanding,” katanya di Facebook.
Razak berkata, keputusan di lima DUN itu wajar diberi perhatian oleh kepimpinan tertinggi Umno, BN dan PN dalam menentukan strategi serta pembahagian kerusi menjelang PRU16.
Beliau yang juga Adun Telok Mas berkata, jentera Umno Bahagian Kota Melaka akan terus diperkukuh bagi menghadapi PRU akan datang.
“Saya percaya dengan strategi yang betul, tidak mustahil kita mampu mencipta kejutan dengan merampas semula kerusi Parlimen Kota Melaka,” katanya.
Pada PRN Melaka, BN bertanding di 23 daripada 28 DUN, manakala PN bertanding lima. BN menang 21 kerusi, PN (3) mankala PH (4).
Pada PRU15 pula, PN menang tiga daripada enam kerusi Parlimen Melaka iaitu Masjid Tanah, Tangga Batu dan Jasin, manakala PH menguasai Alor Gajah, Hang Tuah Jaya, dan Kota Melaka, meninggalkan BN tanpa sebarang kerusi.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.