The Daily Newsstand · Free, Always
Friday, October 23, 2026

Ng Joo Pong, perintis berbasikal Malaysia di pentas Olimpik

Translate

Lama selepas zaman perlumbaannya berakhir, sekeping gambar di dinding rumah Ng Joo Pong masih mampu membuat matanya bersinar.

Ketika dikunjungi di rumahnya di Shah Alam pada Oktober lalu, bekas atlet Olimpik itu terpandang gambar dirinya di Mexico bersama seorang atlet wanita.

Tutur katanya ketika itu sudah perlahan dan dia sudah bertahun-tahun terlantar, tetapi sisi cerianya masih tidak berubah.

“Cantik,” katanya ringkas.

Satu bilik terus pecah dengan gelak ketawa.

Untuk seketika, seolah-olah masa kembali ke belakang, memperlihatkan semula lelaki di sebalik pingat dan pencapaiannya — seorang pelumba basikal yang pernah mengembara jauh dari jalan raya Kuala Lumpur, namun tidak pernah kehilangan sifat cerianya.

Joo Pong meninggal dunia pada usia 80 tahun, Rabu lalu, meninggalkan namanya dalam sejarah sukan negara sebagai pelumba basikal Malaysia pertama beraksi di Sukan Olimpik. Beliau mewakili negara di Tokyo pada 1964 sebelum kembali ke pentas Olimpik di Mexico City empat tahun kemudian.

Perjalanannya mencerminkan sebuah generasi yang membangunkan sukan berbasikal Malaysia dengan kecekalan, pengorbanan dan keberanian mencabar dunia walaupun memiliki kemudahan jauh lebih terhad berbanding pesaing mereka.

Membesar dalam keluarga dengan 17 orang anak, Joo Pong membantu perniagaan bekalan air keluarganya di Batu 4, Jalan Klang Lama. Minatnya terhadap basikal bermula sejak kecil apabila dia kadangkala mengambil basikal bapanya tanpa izin sehingga dimarahi.

Peluangnya terbuka selepas berjaya mendapatkan sebuah basikal buatan China dengan menjual 60 buku tiket cabutan bertuah di sekolah. Basikal bernilai RM75 itu menjadi permulaan kepada penglibatannya dalam perlumbaan kompetitif.

Bapanya, Swee Long, menyedari bakat Joo Pong dan adiknya, Joo Ngan. Aktiviti berbasikal hujung minggu mereka kemudian bertukar menjadi sesi latihan apabila si bapa mengekori kedua-duanya dengan kereta di sepanjang Jalan Kuchai Lama demi memastikan keselamatan mereka.

Kemenangan akan diraikan dengan minum susu lembu di Brickfields. Jika kalah, perjalanan pulang pula sunyi tanpa banyak bicara.

Kisah mereka berkembang seiring dengan perkembangan sukan berbasikal ketika itu. Kelab seperti Rough Riders dan Agas Wheelers menganjurkan perlumbaan, manakala penubuhan badan kebangsaan pada 1953 membantu sukan itu berkembang melangkaui pertandingan tempatan.

Tanpa velodrom untuk berlatih, pelumba muda ketika itu menggunakan jalan raya dan memanfaatkan apa sahaja kemudahan yang ada.

Joo Pong pantas menyerlah apabila memenangi gangsa acara ujian masa individu 1,000m pada Kejohanan Berbasikal Asia 1963 di Kuala Lumpur. Beliau turut membantu Malaysia meraih emas dalam acara berpasukan pada kejohanan sama.

Ng Joo Pong

Ng Joo Pong memecut menuju garisan penamat di Stadium Merdeka pada penghujung 1960-an, ketika Malaysia masih belum mempunyai velodrom dan pelumba hanya bersandarkan semangat serta kecekalan.

Pada usia 18 tahun, beliau beraksi pada Olimpik Tokyo 1964. Joo Pong menduduki tempat ke-24 dalam ujian masa trek 1,000m, manakala Malaysia berada di tempat ke-32 bagi ujian masa berpasukan 100km. Beliau turut mengambil bahagian dalam acara kejar-mengejar berpasukan.

Empat tahun kemudian, beliau kembali ke Sukan Olimpik di Mexico City untuk acara perlumbaan jalan raya individu. Tiada pingat dibawa pulang, tetapi kedudukannya dalam sejarah sukan negara tidak ditentukan oleh pingat semata-mata.

Joo Pong berjaya membawa sukan berbasikal Malaysia ke pentas Olimpik ketika negara masih membina nama dalam persaingan antarabangsa.

Rekodnya di peringkat serantau juga membanggakan. Beliau meraih tiga perak dan satu gangsa pada Sukan SEAP 1965 sebelum memenangi dua lagi gangsa pada edisi 1967. Pada Sukan Asia 1970 di Bangkok, beliau meraih gangsa dalam acara perlumbaan beramai-ramai 10,000m.

Itu menjadi kejohanan besar terakhirnya. Joo Pong bersara selepas temasya berkenaan ketika Malaysia sudah mula melahirkan lebih ramai pelumba berbasikal berkaliber.

Joo Ngan dan seorang lagi legenda negara, Daud Ibrahim, antara yang meneruskan kecemerlangan sukan itu dengan meraih kejayaan besar serta membantu membawa sukan berbasikal daripada perlumbaan kelab ke pentas antarabangsa.

Namun, di sebalik pencapaian dua beradik itu tersimpan tragedi keluarga yang mengubah kehidupan mereka.

Pada April 1969, bapa mereka maut selepas terbabit dalam perlanggaran dengan sebuah lori ketika mengekori anak-anaknya menjalani latihan berbasikal pada waktu pagi. Lelaki yang selama ini menyokong impian dan menjaga keselamatan mereka di jalan raya pergi secara tiba-tiba.

Kehilangan itu amat memberi kesan kepada kedua-dua beradik. Joo Ngan kemudian mengenang mereka mengambil masa beberapa bulan sebelum mampu kembali berbasikal.

Selepas bersara, Joo Pong bekerja menjual lori dan turut memandu teksi secara sambilan. Kejayaannya dalam sukan membawa nama dan penghormatan, tetapi tidak menjamin kehidupan yang senang dari segi kewangan.

Beberapa serangan strok kemudian menjejaskan pergerakannya dengan teruk. Beliau menghabiskan lebih sedekad menggunakan kerusi roda sebelum terlantar di katil sepanjang tiga tahun terakhir kehidupannya.

Pada Oktober tahun lalu, Persatuan Olimpian Malaysia mengatur kunjungan ke rumahnya bagi menghargai sumbangan kepada sukan negara. Presidennya, Noraseela Khalid, bersama legenda olahraga Zaiton Othman hadir menemui beliau.

Noraseela Khalid reads Ng Joo Pong

Dalam kunjungan pada Oktober 2025 bagi menghargai kerjaya Olimpiknya, Noraseela Khalid membacakan penghargaan daripada World Olympians Association kepada Ng Joo Pong sambil diperhatikan Zaiton Othman dan adiknya, Joo Ngan.

Noraseela menyerahkan kepadanya sijil penghargaan berbingkai daripada World Olympians Association serta pin Olimpik yang mengiktirafnya dengan gelaran pascanama OLY.

Ketika Noraseela membacakan kandungan penghargaan itu, Joo Pong memegang bingkai berkenaan. Zaiton yang duduk di sisinya mengesat air matanya ketika beliau mula sebak menyedari betapa besar makna penghargaan tersebut.

Ia menjadi pengiktirafan buat seorang perintis yang membawa nama negara ketika sukan berbasikal Malaysia masih pada peringkat awal perkembangannya.

Adiknya terus berada di sisi sepanjang tahun-tahun sukar itu. Joo Ngan kerap menziarahinya dan berkata Joo Pong berada dalam keadaan ceria pada hari-hari sebelum kematiannya. Kehilangan abangnya itu amat dirasainya.

Ng Joo Ngan

Ng Joo Ngan menenangkan abangnya yang sebak sambil diperhatikan Zaiton Othman ketika majlis penghargaan pada Oktober 2025. Momen itu menggambarkan ikatan dua beradik yang melalui pelbagai kepayahan bersama sepanjang hidup mereka.

Ikatan mereka bermula di atas basikal, dibentuk oleh seorang bapa yang percaya kepada kebolehan anak-anaknya dan menjadi semakin kukuh selepas menempuh kehilangan besar bersama.

Pingat dan gambar yang menghiasi rumah Joo Pong menjadi saksi perjalanan hidupnya, daripada jalan raya Kuala Lumpur sehingga ke dua temasya Olimpik.

Namun, kunjungan pada Oktober lalu memperlihatkan sesuatu yang lebih besar daripada sekadar rekod perlumbaan dan keputusan pertandingan. Walaupun tubuhnya semakin lemah, sifat ceria yang pernah membantunya mengharungi kerasnya dunia perlumbaan masih kekal.

Sekeping gambar masih mampu membuatnya tersenyum dan satu gurauan ringkas masih mampu mencetuskan gelak ketawa seluruh bilik.

Ketika kunjungan itu, Joo Pong ditanya sama ada beliau merindui zaman berbasikal.

“Sentiasa.”

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.

View the original on Free Malaysia Today →

KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.