BN-PN dijangka bentuk kerjasama menjelang PRN Melaka

Penganalisis menjangkakan Umno dan PAS membentuk kerjasama pilihan raya bagi menghadapi PRN Melaka akan datang, dengan kedua-dua parti dilihat tidak begitu berminat bertembung sesama sendiri di kerusi majoriti Melayu.
Walaupun Umno masih belum mengumumkan sekutunya, Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata segala petunjuk melihatkan parti itu akan mengadakan kerjasama secara langsung dengan PAS.
“Dalam Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini, PAS dijemput, bukan (satu lagi parti komponen Perikatan Nasional,) Wawasan,” katanya kepada FMT.
Mazlan berkata, PAS berkemungkinan mencapai persetujuan dengan Umno sebelum pembahagian kerusi dibuat antara parti komponen PN yang dipengerusikan parti Islam itu.

Katanya, langkah itu akan mengelakkan Umno daripada perlu berunding dengan terlalu banyak parti dalam pembahagian kerusi, sebaliknya menyerahkan tugas itu kepada PAS.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Zahid Hamidi, sebelum ini berkata rundingan rasmi dengan parti lain hanya akan dimulakan selepas DUN dibubarkan. DUN Melaka dibubarkan pada Rabu.
Pada Selasa, Pengerusi BN Melaka Ab Rauf Yusoh mengelak menjawab soalan mengenai kemungkinan kerjasama pilihan raya, dengan berkata gabungan itu memerlukan masa untuk ‘menyelesaikan’ urusan pembubaran terlebih dahulu.
Mazlan dan Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, Umno menyedari BN akan berdepan laluan lebih sukar jika bertanding solo kerana persaingan dengan PAS akan menyukarkan usaha mereka memenangi kerusi majoriti Melayu.
Mereka berkata, kedudukan Rauf juga mungkin terancam kerana beliau hanya berjaya mempertahankan kerusi Tanjung Bidara pada 2021 dengan majoriti tipis 364 undi dalam pertandingan tiga penjuru menentang PN dan Pakatan Harapan.

“Umno perlu mencari rakan. Umno tahu bertanding solo akan menjadi sukar kerana jika berbuat demikian, ia perlu berdepan PAS di kebanyakan kerusi, terutama kawasan majoriti Melayu,” kata Azmi.
BN membentuk kerajaan Melaka selepas memenangi 21 daripada 28 kerusi dalam PRN 2021. PH memenangi lima kerusi manakala PN memperoleh dua kerusi, kedua-duanya menerusi Bersatu.
BN menyatakan hasrat mempertahankan semua 21 kerusi dimenanginya pada 2021, bermakna bakal rakan kerjasama hanya mempunyai tujuh kerusi untuk ditandingi.
PN tangguh pembahagian kerusi
Dalam perkembangan lain, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, memberitahu FMT parti itu akan mengadakan perbincangan dengan Umno dalam masa terdekat.
Katanya, pembahagian kerusi PN hanya akan diputuskan selepas PAS menyelesaikan rundingan dengan Umno.
“PAS telah mengarahkan seluruh jenteranya supaya bersiap sedia di kerusi DUN yang dijangka ditandinginya.
“Kami terbuka untuk bekerjasama dengan Umno dan berharap kerjasama yang terjalin dalam PRN Negeri Sembilan baru-baru ini dapat diteruskan,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.